Wakaf MARA MADANI: Dana Amanah Demi Masa Depan Bumiputera
KUALA LUMPUR, 16 Mac – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penubuhan Wakaf MARA MADANI merupakan satu dana amanah demi masa depan Bumiputera di negara ini.
Ujar Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, Wakaf MARA MADANI lahir daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera tahun lalu sebagai satu langkah strategik untuk memperkasakan Bumiputera dalam arus pembangunan.
“Sebagai menteri yang diberi amanah, saya berikrar untuk memastikan Wakaf MARA MADANI ini bukan hanya direalisasikan, tetapi benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang dan mendukung inisiatif ini, khususnya 2.8 juta alumni produk pendidikan MARA di seluruh negara,” kata Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu dalam satu hantaran di Facebook.
Semalam, Majlis Amanah Rakyat (MARA) melakar sejarah dengan peluncuran Wakaf MARA MADANI oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Merdeka, Pusat Dagangam Dunia (WTC), di sini.
Ia katanya satu inisiatif besar dalam memperkukuh kedudukan sosioekonomi Melayu dan Bumiputera.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri menegaskan bahawa inisiatif ini bukan sekadar soal ekonomi, tetapi tentang membina kekuatan dan daya tahan ekonomi Bumiputera bagi memastikan mereka bukan sahaja mampu berdiri setanding, tetapi juga menjadi pemacu utama kemajuan negara.
Justeru Ahmad Zahid berharap semoga usaha ini mendapat keberkatan Allah SWT, menjadi sumber kebaikan yang berkekalan, dan terus memperkukuh keunggulan Bumiputera dalam ekonomi negara. – UMNO ONLINE