Tengku Adnan Teruskan Tradisi Tajaan Juadah Berbuka Puasa Di Putrajaya
PUTRAJAYA, 11 Mac – Bendahari UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meneruskan tradisi tahunan menaja juadah berbuka puasa bagi masyarakat setempat di sini.
Ujarnya, seperti tahun-tahun sebelumnya, inisiatif ini bertujuan untuk berkongsi kesyukuran serta mengimarahkan bulan Ramadan yang mulia.
“Sebanyak 300 pek juadah berbuka puasa diedarkan setiap hari sepanjang bulan Ramadan melalui surau-surau yang terdapat di Putrajaya.
“Inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban masyarakat setempat tetapi juga memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan penduduk,” katanya kepada UMNO Online.
Semalam, edaran juadah berbuka puasa telah dilakukan di beberapa lokasi, termasuk Surau Al-Qudus PPAM Saderi, Surau Jintan PPAM, dan Surau Ar-Raudah Presint 16.
Menurut Datuk Seri Tengku Adnan, inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen beliau untuk memastikan masyarakat Putrajaya tidak terpinggir dalam menikmati keberkatan Ramadan.
“Setiap tahun, kami berusaha untuk membantu mereka yang memerlukan, dan inisiatif ini diharapkan dapat membawa kegembiraan kepada penduduk setempat, terutamanya mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.
Tengku Adnan berharap agar usaha ini dapat memberi manfaat kepada semua serta mendorong lebih ramai pihak untuk bersama-sama menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
“Dengan inisiatif seperti ini, Ramadan di Putrajaya bukan sekadar bulan ibadah tetapi juga bulan untuk memperkukuh ikatan persaudaraan dalam kalangan masyarakat.”
Beliau juga memaklumkan, selain daripada edaran juadah berbuka puasa, UMNO Putrajaya juga meneruskan gerak kerja mengedarkan ‘Sumbangan Tak Banyak Alasan’ iaitu barangan keperluan harian kepada penduduk tempatan.
“UMNO memperlihatkan bahawa kita tidak hanya berpolitik, sebaliknya turut memainkan peranan sebagai penjaga kebajikan dan menyemai kesejahteraan di samping sentiasa membela masyarakat.
“Ini juga adalah satu langkah ke arah memperkukuhkan ikatan antara parti dan rakyat, serta membuktikan bahawa khidmat bakti adalah nilai utama dalam perjuangan UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online