Semai Perpaduan, Elak Utarakan Isu Sensitif Demi Keharmonian – Mohd Zaidy
JEMPOL, 11 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menyeru masyarakat untuk terus menyemai perpaduan dan mengelakkan daripada membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh mengancam keharmonian negara.
Beliau menegaskan bahawa kestabilan dan keamanan negara bergantung kepada kesepakatan rakyat dalam menghormati perbezaan serta memperkukuhkan nilai-nilai kebersamaan.
Menurut Mohd Zaidy, pelbagai kaum di Malaysia telah hidup bersama dalam keadaan harmoni sejak sekian lama, dan keadaan ini perlu dikekalkan demi kemajuan negara dengan mengamalkan sikap toleransi serta pemahaman demi perpaduan nasional.
“Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, agama, dan budaya. Oleh itu, penting untuk kita semua mengamalkan sikap hormat-menghormati dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung mana-mana pihak.
“Kesejahteraan negara ini bergantung kepada keupayaan kita untuk bersatu padu dan menolak segala bentuk perpecahan,” katanya kepada UMNO Online.
Dalam hal ini Mohd Zaidy bersetuju dengan saranan Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berharap semua pihak untuk rasional dengan sentiasa menghormati amalan beragama masing-masing
“Perpaduan bukan sesuatu yang boleh diambil mudah. Semua pihak perlu sama-sama berganding bahu dalam memastikan perpaduan terus kukuh dan negara kekal aman demi generasi akan datang,” katanya yang turut memuji usaha kerajaan dalam memperkukuhkan perpaduan nasional menerusi pelbagai program dan inisiatif yang melibatkan rakyat pelbagai kaum.
Terdahulu, Mohd Zaidy telah bersama-sama dalam Program Ihya’ Ramadan DUN Jeram Padang yang berlangsung di Masjid Felda Palong 2, semalam.
Program dimulakan dengan penyampaian bantuan kepada warga emas sebanyak RM200 melibatkan 173 penerima sebagai tanda penghargaan terhadap golongan berusia.
Selain itu, seramai 30 penerima dalam kalangan asnaf turut menerima sumbangan daripada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku TPM merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Lebih bermakna, program ini turut mendapat keberangkatan Datuk Undang Luak Johol, yang turut menyampaikan bantuan kepada 30 penerima asnaf melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
Sumbangan turut diberikan kepada anak-anak yatim sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan mereka. – UMNO Online