Perjuangan Demi Kewarganegaraan… Berakhir Dengan Kejayaan – Shahrizat

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Pengerusi HAWA Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil meluahkan kesyukuran dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan anak wanita warga Malaysia yang lahir di luar negara berhak untuk mendapatkan kewarganegaraan secara pendaftaran.

Beliau menyifatkan perjuangan Family Frontiers dan semua pihak yang telah berjuang selama lebih lima tahun sepanjang kes Suriani Kempe & Ors v Government of Malaysia sebagai usaha berbaloi demi melindungi hak wanita dan kanak-kanak.

“Perjuangan Family Frontiers dalam menegakkan kesaksamaan jantina dan memperkukuhkan kesamarataan hak wanita dan lelaki di Malaysia menjadi sumber inspirasi dan harapan kepada rakyat.

“Kami di Kumpulan Fokus HAWA Perundangan & Polisi (Hawa Hak), meraikan kejayaan bersejarah ini bersama Family Frontiers dan berharap lebih banyak kemajuan ke arah pembelaan hak-hak wanita akan terus dicapai,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dalam pada itu menyeru semua pihak untuk terus berjuang dalam memastikan setiap dasar serta undang-undang di negara ini mencerminkan prinsip keadilan dan kesaksamaan.

“Hawa Hak komited dalam usaha untuk menggubal undang-undang dan memperkenalkan polisi yang lebih adil dan inklusif, demi melindungi hak wanita, kanak-kanak dan keluarga secara menyeluruh,” ujar beliau.

Shahrizat dalam pada itu menggesa Kerajaan Malaysia agar menyegerakan proses perundangan dalam mempertimbangkan serta meluluskan permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan demi memastikan hak ibu-ibu dan anak-anak ini terpelihara.

Terdahulu pada semalam Family Frontiers telah mencapai penyelesaian melalui perintah persetujuan bersama Kerajaan Malaysia.

Penyelesaian yang disahkan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ini membolehkan anak-anak kepada ibu-ibu warganegara Malaysia yang berumur di bawah 18 tahun serta lahir di luar negara sebelum kelulusan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan 2024) turut berhak untuk mendapatkan kewarganegaraan secara pendaftaran. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit