Ketua Menteri Melaka Sampaikan Sumbangan Ramadan Kepada Asnaf

MELAKA, 6 Mac – Kerajaan Negeri Melaka terus komited dalam menjaga kebajikan rakyat dengan menyampaikan sumbangan Ramadan kepada golongan asnaf dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Sultan Ibrahim, Masjid Tanah, semalam.

Majlis yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh itu menyaksikan seramai 280 orang asnaf menerima sumbangan Ramadan berjumlah RM28,000 beserta kit Ramadan.

Selain itu, kerajaan negeri turut menyerahkan sumbangan ‘one-off’ kepada tujuh buah masjid kariah dan 33 surau kariah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.

Menurut Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) akan menyalurkan sumbangan keseluruhan sebanyak RM117,350.

Ujarnya, sumbangan tersebut meliputi pelbagai bantuan seperti Ihya’ Ramadan, utiliti masjid dan surau, sumbangan kepada ahli jawatankuasa masjid, pengurusan jenazah wanita, serta penggali kubur.

“Kami akan terus menyantuni kebajikan rakyat negeri ini tanpa mengira bangsa dan agama, terutamanya dalam bulan penuh keberkatan ini,” katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam, dan Pengangkutan, Datuk Hameed Basheer; ADUN Kuala Linggi merangkap Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rosli Abdullah; serta Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md Azhan Samat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit