Johor Terus Melangkah Ke Hadapan Sebagai Destinasi Pelaburan Pilihan

JOHOR BAHRU, 20 Feb – Johor terus melangkah ke hadapan sebagai destinasi pelaburan pilihan.

Justeru, Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi menaruh keyakinan tinggi bahawa Johor akan berada dalam kedudukan tiga tangga teratas dari segi nilai Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang bakal diumumkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam masa terdekat.

Beliau menyatakan keyakinannya terhadap prospek pelaburan negeri itu, khususnya menerusi perkembangan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) malah perkembangan ini dikongsi dalam satu forum perniagaan yang dianjurkan oleh Singapore Business Federation (SBF) dan United Overseas Bank (UOB) di hadapan lebih 300 hadirin, termasuk 200 pelabur berpotensi dari Singapura, Perancis, Jerman, dan Malaysia.

“Forum ini bukan sekadar sesi penerangan, tetapi merupakan pencapaian penting selepas pemeteraian perjanjian JS-SEZ. Ia menandakan fasa baharu dalam usaha kita merealisasikan zon ekonomi khas ini,” ujar Onn Hafiz dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Beliau turut menekankan bahawa forum ini berfungsi sebagai platform untuk menilai komitmen kerajaan terhadap pelaksanaan JS-SEZ serta memperlihatkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Johor sebagai hab pelaburan yang berdaya saing.

“Pelaburan strategik yang dibincangkan bukan sahaja akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti, malah turut menyumbang kepada pembangunan infrastruktur dan peningkatan ekonomi negeri.”

Ujarnya, dalam usaha memperkukuh agenda ini, kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah penting termasuk pembukaan Invest Malaysia Facilitation Centre-Johor (IMFC-J) yang berfungsi sebagai pusat pemudah cara pelaburan rentas sempadan.

Selain itu, katanya, Johor Talent Development Council (JTDC) turut ditubuhkan bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi permintaan industri masa depan.

“JS-SEZ kini bukan lagi sekadar perancangan, tetapi sedang berkembang sebagai realiti yang semakin membuahkan hasil. Dengan sokongan kukuh daripada pelabur dan kerjasama erat semua pihak, Johor berada di landasan yang kukuh untuk menjadi kuasa ekonomi serantau,” tambahnya.

Kerajaan negeri optimis bahawa pelaburan yang terus berkembang ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Johor, sekali gus membuka lebih banyak peluang kemajuan dan kemakmuran untuk rakyat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit