Pemerkasaan Ekosistem PMKS, Lebih Inklusif Dan Menyeluruh – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 13 Feb – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa sepanjang tahun 2024, sebanyak 100 peratus inisiatif serta program keusahawanan dan pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) yang diperuntukkan di bawah Bajet 2024 telah berjaya dilaksanakan.

Ujar beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), sebanyak 325 program telah direalisasikan dengan jumlah peruntukan mencecah RM33.80 bilion, membuktikan keberkesanan Mesyuarat Sekretariat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (SEK-MPUPK).

“Saya melihat kejayaan ini adalah hasil usaha berterusan melalui empat (4) Mesyuarat SEK-MPUPK yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2024. Mesyuarat-mesyuarat ini bertujuan memastikan penjajaran dan penyelarasan program keusahawanan yang lebih bersepadu serta pelaporan yang lebih menyeluruh.

“Sebagai Pengerusi MPUPK, saya akan terus komited untuk terus memperkasakan ekosistem keusahawanan dan pembangunan PMKS di Malaysia melalui inisiatif yang lebih strategik dan menyeluruh demi kesejahteraan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan melalui hantaran dalam laman Facebooknya, hari ini.

Terdahulu beliau memaklumkan bahawa kesemua kejayaan ini dilaporkan dalam Pelan Tindakan Bersepadu PKS (SMEIPA), iaitu mekanisme utama dalam menyelaras, memantau, dan menilai pelaksanaan program PMKS merentasi pelbagai Kementerian dan Agensi.

“Selain itu, pelaporan SMEIPA bagi tahun 2024 juga berjaya memperoleh laporan lengkap daripada kesemua 13 Kerajaan Negeri mengenai inisiatif berkaitan pembangunan PMKS.

“Ini merupakan pencapaian penting dan pertama kali direkodkan sejak SMEIPA diperkenalkan pada tahun 2006,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit