Kerjasama BN-PH, Uji Dinamika Politik PRN Sabah, Melaka Dan Johor Pada 2025 – Sarfarizmal
KUALA LUMPUR, 8 Feb – Pengarah UMNO Negeri Sembilan Comms, Sarfarizmal Md Saad, menjelaskan bahawa tiga negeri dijangka akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun 2025, iaitu Sabah, Johor, dan Melaka.
Selari dengan itu beliau berpandangan bahawa PRN kali ini dijangka akan mencatatkan perbezaan yang ketara berbanding sebelum ini, memandangkan parti pemerintah kini telah menjalinkan kerjasama dengan parti pembangkang yang selama ini menjadi lawan tradisi.
“Semasa PRN yang lepas, BN dan PH khususnya saling berbalas hujah dan serangan persepsi kerana mereka masih bermusuh antara satu sama lain. Pihak lawan pasti akan menggunakan ‘luka lama’ antara BN dan PH sebagai modal kempen mereka di PRN Sabah, Johor dan Melaka.
“Namun selepas penubuhan Kerajaan Perpaduan pada 24 November 2022, para pemimpin bagi kedua-dua parti terbesar itu telah mula menghakis kudis-kudis lama demi memastikan aspirasi besar negara dan rakyat dapat direalisasikan.
“Perubahan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengekalkan keharmonian politik demi kepentingan negara yang lebih besar, sekali gus membuktikan bahawa perbezaan politik boleh diselesaikan demi kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Sarfarizmal menegaskan bahawa BN, PH dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) harus sentiasa berhati-hati dengan serangan yang mungkin dilancarkan oleh pihak lawan.
Jelas beliau, persaingan politik yang wujud antara BN dan PH tidak boleh dijadikan peluang oleh pihak lawan untuk menangguk di air keruh.
“Permusuhan lama antara BN dan PH pastinya akan dimanfaatkan oleh pihak lawan untuk meraih keuntungan. Mereka akan berusaha untuk memecahbelahkan gabungan ini dan memanipulasi persepsi pengundi.
“Sudah semestinya pihak lawan akan menggunakan bahan video, gambar dan kenyataan pemimpin-pemimpin BN, PH dan GRS yang digunakan semasa PRN sebelum ini sebagai ‘peluru rapuh’ untuk menggaburi sentimen pengundi.
“Sebagai pemimpin, perlu mengawal dan memastikan bahawa segala tindak-tanduk kita tidak dimanipulasi oleh pihak lawan. Mereka pasti akan mengambil kesempatan untuk memecahbelahkan dengan cara ini,” ujarnya.
Beliau turut menekankan pentingnya kerjasama yang erat antara BN, PH, dan GRS untuk memastikan kestabilan politik di negeri ini dan mengelakkan sebarang manipulasi yang boleh merugikan gabungan tersebut.
“Kesediaan untuk berhati-hati dan tidak terpedaya dengan taktik kotor pihak lawan adalah sangat penting serta dapat mengelakkan sebarang manipulasi yang boleh merugikan gabungan ini,” katanya lagi. – UMNO Online