Pas Nak Teraju Pahang…? Shahaniza Seru Rakyat Tidak Termakan Pujuk Rayu

MARAN, 7 Feb – Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin menyeru seluruh rakyat di Negeri Pahang untuk tidak termakan pujuk rayu Pas yang kini giat melancarkan slogan #PasTerajuPahang bagi memenangi hati para pengundi.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, Kerajaan Negeri Pahang di bawah kepimpinan Kerajaan Perpaduan dan diketuai oleh Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah melakukan usaha terbaik untuk rakyat di samping prestasi memberangsangkan dalam tempoh tiga tahun berturut-turut.

“Memang sebenarnya kalau kita tengok Pas ini mereka begitu bersungguh-sungguh nak menawan Pahang. Mereka telah pun melancarkan gerak kerja yang sangat agresif dengan slogan #PASTerajuPahang. Ini tidak boleh dipandang mudah oleh kita semua.

“Tetapi saya nak menekankan kepada rakyat di Negeri Pahang khususnya, jangan termakan dengan pujukan dan cerita daripada mereka. Kerajaan negeri yang ada pada hari ini di bawah kepimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dah buat yang terbaik untuk rakyat.

“Prestasinya bukan sekadar omongan kosong dan telah terbukti. Tiga tahun berturut-turut pendapatan kerajaan negeri bertambah, kemudiannya dikembalikan semula kepada rakyat. Rakyat menikmati pelbagai bantuan, kemudahan yang diberikan oleh kerajaan negeri,” katanya kepada UMNO Online.

Tegasnya, prestasi negeri-negeri yang ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN) dilihat amat berbeza jika dibandingkan dengan Negeri Pahang yang begitu cemerlang.

“Jadi, buat apa kita nak bertukar kepada kerajaan yang belum tentu lagi prestasinya. Kalau kita nak bandingkan dengan kerajaan PN hari ini yang ada di Terengganu, Kelantan, Kedah… prestasinya jauh, kurang daripada Kerajaan Negeri Pahang.

“Kita boleh bandingkan bagaimana Kerajaan Negeri Pahang di bawah Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Perpaduan ini, begitu cemerlang prestasinya dibandingkan dengan kerajaan negeri di bawah PN,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menghargai segala strategi yang telah dicadangkan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said ketika Program Turun Padang (TURPA) UMNO Bahagian Maran pada Rabu.

“Saya nak ucap terima kasih kepada Datuk Seri Azalina kerana dengan pantasnya selepas diarahkan oleh War Room untuk turun ke Maran sebagai ahli jawatankuasa War Room yang bukan setakat memantau, malah membimbing Parlimen Maran ini untuk kita kembali menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

“Saya sangat menghargai tips ataupun strategi yang telah dicadangkan kepada kami, jentera akar umbi UMNO Bahagian Maran untuk sepanjang tempoh 25 bulan sebelum kita menghadapi PRU yang akan datang. Jadi, panduan-panduan yang telah diberikan itu saya kira banyak yang bersesuaian untuk kita guna pakai di Maran ni.

“Insya-Allah dalam masa terdekat, saya akan memanggil kepimpinan pusat daerah mengundi (PDM) untuk menggariskan strategi-strategi yang kita boleh pakai mengikut kesesuaian. Pada saya, cadangan-cadangan tersebut memang sangat baik dan Insya-Allah akan memberi impak baik kepada kita,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru seluruh jentera untuk bergandingan bagi memastikan Parlimen Maran pulang ke pangkuan UMNO/BN pada PRU akan datang.

“Pesanan saya, kita semua mempunyai harapan yang tinggi untuk menang semula. Begitu juga harapan pucuk pimpinan. Dengan turunnya Datuk Seri Azalina sendiri membuktikan bahawa pucuk pimpinan menaruh harapan yang tinggi untuk kita merampas kembali kerusi Parlimen Maran dan juga di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ada di Maran ini. Jadi, kita jangan menghampakan harapan tersebut.

“Bukan setakat hampa harapan, tapi jika akhirnya kita tidak berjaya untuk merampasnya kembali kerusi ini dan mempertahankan kerajaan Pahang, saya fikir itu adalah satu perkara yang tidak boleh berlaku. Seperti yang dikatakan oleh Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, failure is not an option to us,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit