Ahli Parlimen Jelebu Akan Terus Bawa Aspirasi Rakyat Di Parlimen
KUALA LUMPUR, 4 Feb – Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias melihat pemikiran dan hasrat baginda Tuanku Yang di-Pertuan Agong ketika merasmikan pembukaan sidang Parlimen semalam jelas bahawa ianya sebagai sebuah gelanggang pertemuan suara rakyat jelata, tempat di mana undang-undang digubal serta medan semak dan imbang pentadbiran negara.
Justeru, katanya selaku anggota Dewan Rakyat yang telah mendapat mandat dari rakyat, beliau akan mentaati titah Tuanku agar menjadikan Parlimen ini sebagai suatu tempat untuk Ahli Dewan Rakyat menterjemahkan hasrat rakyat dan bukan dijadikan tempat untuk memaki hamun, apatah lagi menabur fitnah.
“Selaku Ahli Parlimen, saya juga menyambut baik Titah pujian Tuanku terhadap perkembangan ekonomi negara yang kian rancak dan kukuh di bawah kepimpinan Perdana Menteri ke-10.
“Atas kayu ukur itu, suka untuk saya menyeru kepada semua rakyat agar dapat mengekalkan momentum kesepaduan dan keutuhan politik tanah air supaya kita dapat sama-sama mencipta lebih banyak cerita menarik mengenai pengupayaan ekonomi negara kita,” katanya kepada UMNO Online.
Kata beliau lagi apa pun kestabilan adalah kunci kepada kemakmuran negara dan rakyat.
“Rakyat dan kita semua harus sedar bahawa tanpa kestabilan politik dan kemakmuran pelbagai bangsa yang sedang kita bina sekarang ini, mana mungkin kerajaan mampu memacu negara ke arah mencipta tahap ekonomi yang berdaya saing.
“Secara tuntasnya, saya selaku Ahli Parlimen Jelebu akan terus menjunjung tinggi Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan membawa aspirasi rakyat di dalam Dewan Rakyat bagi penggal kali ini,” ujarnya. – UMNO Online