KK Mart Masih Tidak Cakna? … Jaga Sensitiviti Umat Islam – Afzan Manaf

KUALA LUMPUR, 13 Jan – Kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang telah menyuarakan kebimbangan terhadap penjualan produk di KK Mart ekoran bukan sahaja melanggar piawaian halal tetapi turut menyinggung sensitiviti agama umat Islam di negara ini.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Afzan Manaf menekankan kebimbangan itu terutamanya apabila produk berkenaan dijual di dalam kampus Universiti Malaya, yang majoriti pelajarnya adalah Muslim.

“Ini bukan sekadar soal logo halal tetapi soal prinsip menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara. KK Mart sekali lagi harus memastikan setiap produk yang dijual mematuhi piawaian halal yang ditetapkan serta mengutamakan keharmonian masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

“Isu ini menunjukkan bahawa KK Mart masih lagi tidak cakna dan gagal mengambil serius dalam memastikan produk yang dijual mematuhi standard halal dan tidak menjaga sensitiviti keagamaan.

“Ini bukan kali pertama KK Mart terpalit dengan isu yang menyinggung umat Islam. Adakah KK Mart masih belum belajar daripada kes stoking bertulisan kalimah Allah tahun lalu,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Persoalannya, kata beliau adakah pemilik KK Mart ini Datuk Seri Dr. Chai Kee Kan atau lebih dikenali sebagai KK Chai sememangnya manusia seperti menanam padi di atas batu?

Mengulas lanjut, kata Afzan, merujuk kepada Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM) yang dikeluarkan oleh JAKIM, jelas dinyatakan bahawa nama produk, jenama, atau istilah yang sinonim dengan produk tidak halal tidak dibenarkan.

“Nama produk, jenama, atau istilah yang sinonim dengan produk tidak halal tidak dibenarkan untuk digunakan bagi mana-mana produk yang memohon pensijilan halal kerana ia boleh mengelirukan pengguna Muslim.

“Seperti contoh nama yang terlibat antaranya adalah bak kut teh, bacon, beer, rum, hotdog, dan ham. Hal ini membuktikan bahawa logo halal yang tertera pada produk ‘B Caffe – Ham & Cheese Sandwich’ adalah meragukan dan melanggar prosedur pensijilan halal yang ditetapkan,” ujarnya.

Tegasnya, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia tidak akan berkompromi apabila agama Islam dipermainkan. – UMNO Online

 

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit