Nazifuddin Hargai Sokongan Moral Rakyat, Ahli UMNO Untuk Beri Keadilan Kepada Najib
KUALA LUMPUR, 7 Jan – Ketua Bahagian UMNO Langkawi, Datuk Nazifuddin Najib merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia khususnya ahli UMNO yang memberikan sokongan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarga pada semalam.
Beliau berkata ia memberikan manifestasi tersendiri dalam mengangkat keadilan kepada bekas Presiden dan Perdana Menteri itu.
“Kepada para pemimpin dan ahli parti politik yang dihormati, tidak ketinggalan buat penyokong yang amat saya kasihi. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan padu yang telah diberikan dalam usaha menegakkan kebenaran dan keadilan untuk ayahanda saya, Datuk Seri Najib Razak dalam memberi sokongan moral amat kami hargai.
“Solidariti ini bukan sahaja memberi harapan kepada keluarga kami, tetapi juga mengukuhkan prinsip keadilan yang menjadi teras negara kita.
“Kami amat terharu dengan keprihatinan dan keteguhan yang ditunjukkan oleh setiap daripada anda dalam menghadapi saat-saat mencabar ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Nazifuddin dalam pada itu juga berharap agar penyelesaian yang adil dapat diperolehi kepada ayahandanya selepas melalui pelbagai cabaran.
“Sokongan anda adalah sinar harapan dan kami tetap optimis bahawa bersama-sama kita akan mencapai penyelesaian yang adil. Hidayah itu milik Allah.
“Usaha telah melangkaui batas norma insan biasa. Dan kami telah buat apa yang terbaik. Usaha dan bukti telah kami utarakan. Selebihnya biar Azzawajalla uruskan. Moga ada sinar di hujung usaha ini,” ujar beliau.
Terdahulu pada semalam, Mahkamah Rayuan membenarkan Najib memulakan semakan kehakiman berhubung Titah Adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki penjara menerusi tahanan rumah.
Keputusan itu dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza. – UMNO Online