Menteri UMNO/BN Beri Sumbangan Sebaiknya, Jaga Keutuhan Bawa Aspirasi Kerajaan Madani – Jailani

KUALA LUMPUR, 2 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jailani Johari menyifatkan keberadaan UMNO/Barisan Nasional (BN) bersama Kerajaan Perpaduan memberi manifestasi tersendiri dalam menjaga keutuhan kerajaan.

Menurut beliau ini termasuk menteri UMNO/BN yang dilantik memberikan prestasi cemerlang di sebalik pengalaman yang dimiliki mereka dalam membawa aspirasi kerajaan Madani.

“Alhamdulillah kalau dilihat di bawah kerajaan Madani ini sebenarnya UMNO sebahagian daripada kerajaan dan telah diberi peranan melalui pelantikan pemimpin parti sebagai menteri dan timbalan… bagi menyokong dan menjayakan program termasuk perjalanan kerajaan Madani.

“…dan kalau kita dapat lihat, kebanyakan menteri daripada UMNO telah memberi sumbangan mereka dengan sebaiknya,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Jailani yang juga bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata ini termasuk yang dilakukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah melalui program-program direncanakan untuk mendekati rakyat.

Katanya ia menunjukkan peranan UMNO/BN dalam melaksanakan agenda membela nasib rakyat dapat terus dilakukan.

“Sebagai contoh program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penambahbaikan infrastruktur dan sebagainya. Kalau dikatakan bahawa UMNO ini tidak menjayakan untuk orang-orang Melayu saya merasakan kenyataan itu tak benar.

“Sebenarnya banyak program yang telah dijayakan oleh Presiden antaranya TVET, pelaksanaan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia dan beberapa program di bawah MARA.

“Telah terbukti dengan adanya persahabatan dan kerjasama antara kerajaan UMNO/BN … kerana bersama dengan kerajaan ini kita dapat menjayakan beberapa program yang sebelum ini tidak dapat lakukan selama 22 bulan menjadi pembangkang,” ujar beliau.

Beliau dalam pada itu turut sama berharap agar rakyat terutama golongan muda dapat menilai dengan sebaiknya komitmen dilakukan UMNO/BN.

“Saya berharap bahawa masyarakat terutamanya golongan muda dapat menerima, kita telah memberi sumbangan yang banyak kepada masyarakat, tak kira di bandar ataupun di luar bandar.

“Mereka perlu ingat sejarah tersebut bahawa tidak ada parti lain selain daripada UMNO yang lebih menjayakan program untuk agama, bangsa dan negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit