Kerjasama Padu UMNO, NGO Dan Pelajar IPT Bantu Mangsa Banjir – Aminuddin Omar

KUALA LUMPUR, 19 Dis – UMNO Bahagian Kubang Pasu meluahkan penghargaan tidak terhingga kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang telah turun padang untuk membantu membersihkan rumah-rumah yang terkesan akibat banjir baru-baru ini.

Ketuanya, Datuk Aminuddin Omar berkata bantuan yang diberikan bukan saja harapan baharu kepada mangsa banjir tetapi turut memperlihatkan semangat yang jitu dalam kalangan masyarakat.

“UMNO Bahagian Kubang Pasu berterima kasih dan mengalu-alukan kedatangan NGO dan pelajar-pelajar IPT yang memberi bantuan kepada mereka yang terkesan akibat banjir.

“UMNO bahagian sentiasa cakna, turun padang membantu masyarakat dari awal terkena banjir sehingga ke hari ini iaitu pasca-banjir dengan pertolongan dari dari semua yang datang ke Kubang Pasu dan membantu serta menyantuni masyarakat.

“NGO dan pelajar IPT bersama UMNO Bahagian Kubang Pasu sentiasa bekerjasama membantu meringankan mangsa banjir, bukan saja membersih rumah-rumah yang terlibat banjir tapi turut sama membersihkan tempat-tempat awam seperti surau, dewan, tabika dan sebagainya,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Mengulas lanjut kata Aminuddin lagi, dalam tempoh dua bulan sahaja, sebanyak empat kali banjir telah berlaku, memberi kesan besar pada penduduk dan insfrastuktur di kawasan terlibat.

“Kali ini keadaan banjir sangat teruk walaupun pernah melanda pada tahun 2010. Dalam masa dua bulan ini telah berlaku sebanyak empat kali banjir.

“Kita lihat fenomena banjir yang lebih kerap berlaku dan lebih serius berbanding sebelumnya. Ia bukan sahaja menjejaskan kehidupan harian penduduk tetapi juga mengancam keselamatan mereka,” katanya lagi.

Pada masa yang sama Aminuddin turut menyeru masyarakat untuk lebih peka dan bersedia menghadapi kemungkinan banjir pada masa depan.

Terdahulu banjir besar telah melanda negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Johor dan Perlis.

Ia menyebabkan ribuan orang terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit