BN Perkukuh Kekuatan, Belajar Dari Pengalaman Lampau – Hisham Suhaily

 

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Jubli Emas Barisan Nasional (BN) menjadi titik tolak bagi parti untuk bangkit lebih gagah semula dan terus menjadi pilihan utama rakyat.

Exco Wanita UMNO Malaysia Hisham Suhaily Othman berkata, BN perlu menjadikan pengalaman masa lalu yang penuh cabaran dan harus menjadi asas kekuatan untuk kembali memperkukuhkan kedudukan politik.

“Parti ini pernah jatuh dan bangun semula, ia satu pengalaman yang cukup berguna untuk terus belajar daripada kesilapan dan kelemahan yang lalu. Daripada pengalaman yang lepas pelbagai pahit, manis, perit dilalui dan diambil sebagai pengajaran. Majukan BN sebaik-baiknya dan yang tidak elok perlu disingkirkan.

“Paling penting mengekalkan dan eratkan perpaduan dengan semua komponen dalam BN. Terus berkerja kuat dari pimpinan hingga ke penyokong serta menjaga rakyat di setiap kawasan. Sekiranya satu pihak yang berkerja kuat dan berusaha tetapi pihak di bawah tidak menyahutnya, maka susah hendak melaksanakan.

“Akar umbi harus dikuatkan, diperkukuhkan kembali disemua kawasan, negeri dan juga negara. Apabila BN menjadi kuat, rakyat semakin yakin dan percaya dapat melihat sendiri kelebihan yang telah dibawa. Dari dulu hingga sekarang dan akan datang apa yang dibawa oleh BN tetap konsisten membantu rakyat,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Hisham Suhaily yang juga Ketua Wanita UMNO Langkawi merasa bangga dengan kesetiaan dan keikhlasan wanita BN sepanjang 50 tahun.

Selain itu beliau turut berkongsi pandangannya berkaitan Wanita BN yang sentiasa berkerja kuat tidak kira masa pilihan raya ataupun bencana melanda negara.

“Kita lihat wanita BN sentiasa berkerja bukan saja masa pilihan raya tetapi juga sebagai jentera yang terdapat dimana-mana tidak kira sama ada masa pilihan raya mahupun bencana. Seperti contoh, banjir baru-baru ini Wanita BN turun membantu mangsa banjir di setiap Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan juga kawasan-kawasan yang terlibat.

“Kesepakatan Wanita BN apabila hadapi pilihan raya dan sebagainya, wanita-wanita ini akan terus berkerja erat, kuat dan saling melakukan kerja-kerja masing-masing,” katanya lagi.

Tambah Hisham Suhaily, Wanita BN berjuang demi agama, bangsa dan negara.

“Wanita BN ini tidak ada rasa lelah, putus asa, tidak ada rasa kecewa walaupun ada dikalangannya tidak dapat menjadi wakil rakyat ataupun dicalonkan, namun itu bukannya mematahkan semangat,” ujarnya.

Terdahulu, sambutan ulang tahun BN ke-50 telah berjalan dengan lancar awal Dis lalu dan berjaya menyemai semangat perjuangan jitu untuk terus membela nasib rakyat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit