Dasar, Polisi FELDA Perlu Dikaji Dan Diteliti Semula Agar Sesuai Dengan Perubahan Dominasi Generasi
KUALA LUMPUR, 16 Dis – Ahli Parlimen Lenggong Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah mencadangkan kepada FELDA agar mengkaji dan meneliti semula dasar, polisi serta program mereka agar sesuai dengan warga muda yang sudah menjadi dominan di kawasan FELDA ketika ini.
Kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu, ia agar sesuai dengan perubahan yang berlaku di kalangan warga FELDA ketika ini di mana majoriti warganya kini bukan lagi generasi pertama, malah terdapat di sesetengah kawasan sudah terdapat generasi kelima atau keenam mendiaminya.
“Kini anak muda FELDA inginkan kehidupan mereka lebih terjamin. Mereka inginkan sosio-ekonomi mereka ditingkatkan.
“Mereka mahu penyelesaian masalah rumah dan tanah di FELDA serta banyak lagi yang dinginkan. Mereka mahu suara mereka diambil tindakan serta perhatian,” kata Dr Shamsul Anuar lagi dalam satu hantaran di Facebook.
Maka katanya dengan perubahan dominasi generasi tersebut, permintaan dan keinginan mereka begitu berbeza sekali.
“Kegiatan sukan, aktiviti riadah atau seumpamanya yang diadakan kini hanya kegiatan bersifat pengisian masa dan ruang kehidupan anak muda di FELDA. Ia tidak menyelesaikan isu sebenar yang mereka inginkan,” tambahnya.
Justeru, Dr Shamsul Anuar berpandangan pihak FELDA mesti melihat polisi, dasar, pendekatan serta programnya agar ia lebih mesra kepada generasi baharu yang mendominasi komposisi warga FELDA kini. – UMNO ONLINE