Wanita BN Simbol Perpaduan Dan Nadi Perjuangan Rakyat – Noraini Ahmad
KUALA LUMPUR, 7 Dis – Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata Wanita BN bukan sekadar simbol perpaduan, tetapi bukti bahawa semangat untuk memperjuangkan nasib rakyat tetap menyala.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong menjelaskan semua Wanita BN adalah tulang belakang yang memastikan parti terus berdiri teguh, walau badai politik datang melanda.
”Setiap langkah kita selama 50 tahun ini adalah bukti bahawa Wanita BN adalah nadi perjuangan sebenar. Kita bukan sekadar menyokong; kita memimpin, kita berkorban dan kita menggalas tanggungjawab memastikan BN terus menjadi harapan rakyat.
”Kita adalah wanita yang hebat. Wanita yang hebat adalah wanita yang setia, wanita yang hebat adalah wanita yang tabah menghadapi cabaran, wanita hebat adalah wanita yang sanggup berjuang hingga ketitisan keringat terakhir demi masa depan anak bangsa.
”Kita telah melalui zaman kegemilangan, dan kita juga telah menghadapi kejatuhan yang penuh getir. Kita pernah merasai kemenangan yang manis, tetapi kita juga pernah dikecewakan, ditinggalkan rakan seperjuangan dan diserang fitnah yang mencalar kepercayaan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Sambutan Jubli Emas Barisan Nasional (BN) yang ke 50, di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Tambah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu, wanita BN telah melalui zaman kegemilangan dan juga telah menghadapi kejatuhan yang penuh getir.
”Kita pernah merasai kemenangan yang manis, tetapi kita juga pernah dikecewakan, ditinggalkan rakan seperjuangan, dan diserang fitnah yang mencalar kepercayaan rakyat.
”Namun, dalam setiap episod gelap itu, kita bangkit. Kita bangkit bukan kerana terpaksa, tetapi kerana kita tahu, BN adalah harapan terakhir rakyat untuk kestabilan dan kemakmuran.
”Dalam setiap saat getir itu, kita bernasib baik kerana mempunyai seorang pemimpin yang berani dan bijaksana. Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menunjukkan kepimpinan yang cekal dan berwibawa,” jelasnya.
Ujarnya, sepanjang perkhidmatan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah goyah mahupun gentar walaupun dihimpit pelbagai cabaran.
”Beliau tidak pernah goyah meskipun dihimpit cabaran, tidak pernah berundur meskipun diasak dengan fitnah. Beliau telah menjadi simbol ketabahan dan kecekalan yang memberikan inspirasi kepada kita semua. Di bawah kepimpinan beliau, BN terus bangkit dan terus relevan dalam lanskap politik negara,” jelasnya.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia harap dengan semangat yang tinggi meraikan 50 tahun BN yang telah berjuang dengan gigih demi negara yang tercinta dan bangkit dengan satu misi iaitu untuk ’Bangkit Semula Teguh Bersama’.
”We are one family, one team and one voice. Each one of us has our own strength. Setiap seorang dari kita ada kekuatan tersendiri, jadi gunakanlah kekuatan ini to unite us.
”Ingatlah… kejayaan kita bukan hanya diukur melaluipencapaian individu, tetapi melalui pencapaian kolektifkita. Remember, our success is not just measured by individual achievements but by our collective accomplishments.
”Mari kita terus tanamkan semangat perpaduan dalam diri kita. Kesatuan bukan sekadar kata-kata indah. Ia adalah prinsip yang menjadi tunjang kekuatan kita,” ujarnya lagi. –UMNO Online