UMNO Putrajaya Komited Bantu Rakyat, Ziarah Kasih Bukti Keprihatinan Berterusan
Putrajaya, 5 Dis – UMNO Bahagian Putrajaya terus membuktikan komitmennya sebagai parti yang sentiasa bersama rakyat, khususnya dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.
Melalui program Ziarah Kasih yang dilaksana oleh Biro Kebajikannya, inisiatif mendekati golongan memerlukan dengan menyampaikan bantuan dan sokongan moral diaplikasi.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Putrajaya merangkap pengerusi biro terbabit, Husna Abdul Rahaman berkata keprihatinan ini adalah idea berterusan ketuanya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam mencerminkan usaha parti untuk sentiasa berada dekat dengan masyarakat dan memahami keperluan mereka.
“Kami tidak hanya menyampaikan bantuan material, tetapi juga ingin membawa semangat dan harapan kepada rakyat yang sedang menghadapi ujian. Inilah falsafah perjuangan UMNO untuk terus berada bersama rakyat dalam apa jua keadaan,” katanya.
Semalam beliau telah berkunjung ke Damai Presint 11 untuk melawat kediaman Pak Cik Mat Shah dan menyampaikan sumbangan sebuah kerusi roda bagi digunakan untuk memudahkan pergerakan hariannya.
Ujar Husna, UMNO Bahagian Putrajaya sentiasa mengutamakan pendekatan proaktif dalam membantu rakyat, khususnya melalui pelbagai inisiatif kebajikan yang dirancang secara menyeluruh.
“Sebagai sebuah parti yang berteraskan perjuangan untuk rakyat, UMNO tidak pernah alpa terhadap tanggungjawab sosialnya. Melalui program seperti Ziarah Kasih, UMNO digerakkan bagi memastikan tiada yang terpinggir, terutama mereka yang memerlukan perhatian dan bantuan,” katanya.
Ujarnya yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Wilayah Persekutuan, keprihatinan bagi UMNO bukan sekadar slogan malah ia adalah tanggungjawab yang dipegang teguh oleh parti.
“Kami mahu menjadi jambatan harapan kepada masyarakat, mengukuhkan lagi hubungan antara pemimpin dan rakyat, waima tiada jawatan, pernah bergelar pembangkang dan dalam apa-apa juga keadaan,” tambah beliau kepada UMNO Online.
Katanya lagi, dengan semangat kebersamaan, Wanita UMNO Putrajaya bertekad memastikan kesejahteraan masyarakat kekal terpelihara dan setiap lapisan masyarakat mendapat perhatian sewajarnya.
Sebelum itu, program yang sama digerakkan oleh Husna bersama ahli jawatankuasanya bagi menziarahi Normah di Presint 11 yang sedang uzur. – UMNO Online