BRICS Tarif 100 Peratus AS: Malaysia Perlu Kaji Penggunaan Mata Wang Lain Lebih Teliti
KUALA LUMPUR, 5 Dis – Malaysia perlu mengkaji penggunaan mata wang lain dengan lebih teliti untuk sebarang keputusan melibatkan isu tarif 100 peratus yang akan dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) berlandaskan kepentingan dan dasar semasa negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia masih belum menjadi anggota BRICS secara rasmi termasuklah Indonesia, Thailand dan Vietnam.
“Malaysia telah dikira sebagai salah satu daripada 13 negara yang menjadi rakan kongsi BRICS. Namun kita masih belum menjadi anggota BRICS secara rasmi. Ada empat negara daripada ASEAN yang telah dipilih untuk menjadi rakan kongsi seperti Indonesia, Thailand dan juga Vietnam.
“Kita akan melihat dan memantau terhadap situasi semasa terutamanya berhubung ancaman bakal Presiden AS, Donald Trump yang bercadang untuk mengenakan tarif 100 peratus ke atas negara-negara BRICS sekiranya meneruskan hasrat untuk menggunakan mata wang baharu.
“Walaupun salah satu topik yang pernah dibincangkan semasa sidang mesyuarat BRICS adalah berkaitan pengurangan kebergantungan kepada mata wang tradisi perdagangan seperti USD, namun setakat ini tiada cadangan rasmi yang telah dipersetujui untuk tujuan ‘de-dollarization’ tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian untuk menjawab soalan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman pada sesi soal jawab menteri di Parlimen, sebentar tadi.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, BRICS adalah satu platform yang penting untuk Malaysia mengetengahkan pandangan mengenai isu-isu serantau.
“Dalam hal ini adalah perlu supaya peranan dan hala tuju BRICS dilihat hanya untuk mengimbangi kuasa ekonomi negara-negara barat. Jadi, kita kena lihat secara lebih holistik dan bukan semata-mata dilihat sebagai satu platform untuk mengimbangi kuasa ekonomi negara-negara barat.
“Pada pandangan Malaysia, BRICS adalah satu platform yang semakin penting dalam mengentengahkan pandangan dan pendirian mengenai isu-isu serantau melalui dialog, forum, atau perbincangan yang lebih strategik secara tidak mengikat negeri dengan izin non-binding.
“Pada masa yang sama, tidak dapat dinafikan yang terdapat kesaling bergantungan yang tinggi dalam hubungan perdagangan dan ekonomi di antara Malaysia dan AS, terutamanya dalam rantaian bekalan semikonduktor yang mana syarikat-syarikat AS adalah pelabur utama di Malaysia dalam sektor ini,” katanya lagi.
Menurutnya, cadangan AS untuk mengenakan tarif 100 peratus ini dilihat hanya merugikan kedua-dua pihak yang saling bergantung untuk mencegah gangguan rangkaian bekalan global.
“Hubungan perdagangan yang saling melengkapi ini dapat dilihat berdasarkan statistik semasa pada tahun 2023, contohnya AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, manakala Malaysia pula merupakan rakan dagang ke-19 terbesar AS.
“Sebarang langkah mengenai tarif 100 peratus akan hanya merugikan kedua-dua belah pihak yang saling bergantung dalam usaha untuk mencegah gangguan dalam rangkaian bekalan global,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul turut menegaskan bahawa Malaysia perlu memantau secara rapat mengenai ancaman tersebut.
“Memandangkan dolar AS masih memainkan peranan yang besar dalam sistem kewangan dunia dan ancaman kenaikan 100 peratus tarif akan dikenakan sekiranya negara anggota BRICS meneruskan hasrat untuk membangunkan mata wang baru.
“…adalah penting untuk Malaysia, masih belum menjadi anggota BRICS secara rasmi terus memantau secara rapat sebarang perkembangan yang mungkin turut memberi kesan kepada negara.
“Jadi penggunaan mata wang lain oleh Malaysia dalam urusan perdagangan dan pelaburan perlu dikaji dengan lebih teliti oleh kerajaan. Sebarang keputusan mengenai perkara ini adalah berlandaskan kepentingan negara dan selari dengan dasar-dasar semasa negara,” katanya lagi.
Pada Ahad media melaporkan, Presiden AS dipilih, Donald Trump, mengancam akan kenakan tarif 100 peratus jika negara anggota BRICS meneruskan perancangan melancarkan sistem kewangan baharu yang mungkin melemahkan dolar AS. – UMNO Online