UMNO Terengganu Tak Lapuk, Terus Laksana Agenda Perkasakan Pendidikan Anak Muda – Mohd Fadini

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Fadini Rahim menafikan tuduhan yang mengatakan UMNO Terengganu sebagai lapuk.

Beliau yang juga Pemuda UMNO Bahagian Kemaman berkata sebaliknya UMNO sebagai pembangkang terus melaksanakan khidmat bakti menyantuni rakyat di negeri itu termasuk dalam pendidikan anak muda.

“Ini bukan politik lapuk kak, untuk pengetahuan walaupun parti UMNO menjadi pembangkang di negeri Terengganu tetapi pimpinan UMNO Terengganu tetap meneruskan agenda memperkasakan pendidikan di bawah Kempen Kesedaran Pendidikan (KeDESA) ini.

“Dalam siri kempen ini, jelas dan sangat jelas menceritakan hal berkaitan pentingnya pendidikan serta memberi atau menyebar luaskan maklumat, menerangkan peluang, merungkaikan masalah, membantu para lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, Sijil Menengah Ugama, tahfiz dan lain-lain untuk menyambung pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional(TVET),” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Mohd Fadini berkata pendekatan tersebut sebagai bukti komitmen UMNO dalam membawa perjuangan parti terutama memperkasa anak muda negeri ini ke arah generasi mampan.

“Ini bermakna UMNO Terengganu berjaya menjadi pembangkang yang baik dan mempunyai idea serta buah fikiran yang tidak lapuk dalam membantu anak-anak untuk berjaya.

“Kalau kita tak mampu, jangan cuba menjadikan sesuatu itu keruh,” ujarnya.

Mohd Fadini memberikan respon berkenaan sebagai membalas tohmahan daripada segelintir pihak yang mengkritik berkenaan isu penganjuran program yang kononnya UMNO menjadikan institusi pendidikan sebagai medan kempen.

Terdahulu isu membabitkan pendidikan juga turut sama menjadi bahan politik Pas sehinggakan mendapat respon daripada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera yang menyanggal tuduhan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri itu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.