Jangan Pergunakan Rakyat Sabah Untuk Kepentingan Politik – Jeffery Nor

KOTA KINABALU, 23 Nov – Pengarah Jentera Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed, menegaskan bahawa rakyat Sabah tidak boleh lagi digunakan untuk kepentingan politik.

Dalam hal ini beliau membidas pihak yang menuduh UMNO/Barisan Nasional (BN) dengan tuduhan cuba menjadikan rakyat ibarat ‘tikus makmal’ sedangkan sebenarnya merekalah yang sentiasa ‘bereksperimen’.

Mengulas mengenai kenyataan sesetengah pihak tentang hubungan antara BN Sabah dan Pakatan Harapan (PH) Sabah, Jeffery Nor menyangkal bahawa konsep ‘makmal’ yang digunakan untuk menggambarkan hubungan tersebut boleh dianggap merendahkan martabat rakyat Sabah.

“Saya bertanya kepada mereka, sebelum ini mereka berada dalam UMNO Sabah, lepas itu mereka ‘test’ berada di dalam Bersatu dan sekarang mereka ‘test’ lagi dengan parti baharu. Kalau mahu dikatakan dengan uji kaji, merekalah yang melakukan eksperimen, daripada UMNO ke Bersatu ke GRS. Jadi ini boleh saya katakan yang mereka akan melakukan uji kaji setiap masa.

“Bila kalah, mereka akan terus melakukan uji kaji kerana mahukan parti yang menang saja. Barangkali inilah kebenarannya apabila Presiden melakukan hubungan antara BN Sabah dengan PH Sabah agar adanya tertubuh Kerajaan Perpaduan sebagaimana di Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Jeffery Nor menyatakan bahawa rakyat Sabah tidak boleh terus menjadi bahan eksperimen politik, terutamanya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal datang.

“Kehidupan rakyat Sabah kini tidak normal. Sebagai contoh, banyak penduduk terpaksa bangun seawal tiga pagi untuk mendapatkan bekalan air, dan sering kali menghadapi gangguan bekalan air dan elektrik yang menyebabkan masalah besar dalam kehidupan harian mereka.

“Hampir 70 hingga 80 peratus rakyat Sabah menghadapi cabaran hidup yang berbeza berbanding dengan rakyat negeri lain di Malaysia. Keadaan ini, menuntut perhatian serius daripada kerajaan, bukan lagi perbincangan politik yang hanya mementingkan populariti.”

Beliau menjelaskan bahawa, meskipun ada usaha untuk membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, rakyat Sabah tidak seharusnya dipermain-mainkan dalam konteks percaturan politik.

“Tumpuan utama harus diberikan kepada menyelesaikan masalah rakyat dengan cara yang jelas dan benar, serta memastikan kerajaan yang stabil dapat dibentuk untuk menghadapi isu-isu yang mengganggu kehidupan seharian mereka,” katanya.

Dalam hal ini, Jeffery Nor mengkritik pemimpin-pemimpin yang mendakwa perjuangan untuk rakyat Sabah, tetapi pada masa yang sama terus terlibat dalam perubahan politik demi kepentingan mereka sendiri.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan menyatakan bahawa perubahan politik yang dilakukan oleh sesetengah pemimpin hanya berdasarkan populariti, bukannya kesungguhan untuk menyelesaikan masalah rakyat.

“Jangan pergunakan rakyat Sabah untuk kepentingan politik. Ini mesti diberhentikan,” tegasnya.

Dalam konteks kempen PRN akan datang, Jeffery Nor menerangkan berkaitan ‘Gerak 17’ yang diterajui oleh Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin turun ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ini bertujuan memberi semangat kepada jentera UMNO Sabah, terutama di kawasan DUN-DUN tumpuan. Akar umbi kita menunggu pimpinan kita untuk hadir.

“Semangat jentera UMNO Sabah amat tinggi walaupun tiada peruntukan kewangan yang disediakan untuk program ini. Setiap individu yang terlibat mengeluarkan perbelanjaan sendiri kerana mereka benar-benar berkomitmen untuk perjuangan parti. Program ini akan diteruskan ke kawasan DUN-DUN lain selepas ini.”

Dalam perkembangan ini, Jeffery Nor juga menyeru rakyat Sabah untuk berani melakukan perubahan besar dalam PRN akan datang.

“Sudah tiba masanya untuk memberi peluang kepada pemimpin baharu yang lebih berdaya saing dan mempunyai idea-idea segar.

“Rakyat Sabah perlu bersatu untuk memastikan perubahan ini, agar masalah yang dihadapi kini dapat diatasi dan kehidupan mereka kembali normal seperti negeri-negeri lain. Perubahan ini mesti kita lakukan bersama, bukan saya seorang, tetapi rakyat selaku pengundi di negeri Sabah,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit