Garisan ‘Glow In The Dark’ Mungkin Tidak Akan Diteruskan – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 22 Nov – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan bahawa garisan ‘glow in the dark’ mungkin tidak akan diteruskan di jalan-jalan raya yang lain.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mempergiatkan usaha untuk mengecat semula garisan putih di jalan-jalan raya untuk memudahkan para pengguna.

“Ahli Parlimen daripada Jeli… beliau telah menyebut beberapa jalan iaitu Jalan Panglima Bayu ke Rantau Panjang, Jalan Tanah Merah ke Jeli dan Jalan Jeli-Kuala Balah yang perlu garisan putih… yang hilang hendaklah dicat semula.

“Saya bersetuju dengan apa yang disebutkan oleh beliau. Seperkara lagi, beliau turut menyebut tentang bagaimana pengambilan tanah hendaklah diselesaikan terlebih dahulu barulah diberi kepada syarikat yang terlibat surat setuju terima ataupun SST.

“Begitu juga dengan isu garisan putih di jalan yang dilihat dapat membantu sekiranya jalan tersebut tidak mempunyai lampu. Kita tidak dapat meletakkan ‘glow in the dark’. Ada dua Ahli Parlimen telah mencadangkan perkara ini,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, semalam.

Menurutnya, garisan ‘glow in the dark’ telah dilaksanakan sebelum ini di Semenyih untuk peringkat percubaan namun ia tidak memuaskan hati para pakar di KKR dan menelan perbelanjaan yang tinggi.

“‘Glow in the dark’ telah kita laksanakan percubaannya tetapi ia tidak memuaskan hati kumpulan pakar di KKR. Jadi, berkemungkinan kita tidak akan meneruskannya tambahan pula kosnya yang agak mahal. Namun demikian adalah penting supaya garisan putih diteruskan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut mengharapkan agar peristiwa kelewatan pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo untuk pakej 1(A) dijadikan iktibar agar ia tidak berlaku pada masa akan datang.

“Mengenai Projek Lebuh Raya Pan Borneo, kita telah memanggil kontraktor yang dapat pakej Pan Borneo 1(B) supaya belajar, jangan mngulangi kesilapan-kesilapan, kelewatan-kelewatan melaksanakan pakej 1(A) dalam Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah.

“Mengenai projek baharu Lebuh Raya Madani, saya ingin memaklumkan bahawa projek ini kita telah angkat ke Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk diberikan tindakan seterusnya. Mengenai projek menaiktaraf jalan yang sempit saya telah pergi ke tempat ini di Felda Palong.

“Sekarang ini saya ingin memaklumkan bahawa ada kira-kira RM1 bilion peruntukan yang diberikan kepada KKR pada tahun hadapan untuk tujuan menaik taraf jalan industri dan juga jalan Felda. Saya harap Jalan Felda Palong ini akan termasuk dalam senarai itu,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit