Tidak Masuk Akal Cadang Muzium Ajaran Sesat Di Langkawi – UMNO Kedah
KUALA LUMPUR, 7 Nov – UMNO Kedah menyifatkan cadangan Ahli Parlimen Langkawi Datuk Mohd Suhaimi Abdullah supaya diwujudkan sebuah muzium ajaran sesat di pulau pelancongan berkenaan sebagai satu idea yang sangat menyimpang daripada logik dan keperluan industri pelancongan.
Ketua Penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online berkata apa perlunya muzium seperti itu, tambahan pula di Langkawi.
“Apa yang hendak dibanggakan dengan ajaran sesat sehingga perlukan sebuah muzium, pelancong mana yang berminat mengambil tahu tentang ajaran sesat? Mungkin satu-satunya yang diperlukan adalah muzium ‘katak politik’.
“Sebagai seorang wakil rakyat yang menerima mandat sangat kukuh sehingga menghilangkan wang deposit seorang mantan Perdana Menteri yang sangat berkuasa, tidak sepatutnya cadangan sedemikian rupa dikeluarkan.
“Beliau sepatutnya mengutarakan keperluan rakyat dan tampil dengan idea untuk kembali memulihkan reputasi Langkawi sebagai sebuah pulau pelancongan yang dahulunya sangat tersohor.
“Ahli Parlimen Langkawi dari Perikatan Nasional itu perlu lebih bijaksana dan sensitif membawa isu-isu ataupun teguran membina ke dalam dewan rakyat,” katanya.
Katanya lagi ini adalah kali kedua YB berkenaan bercakap tidak bijaksana dalam Parlimen, di mana pada November tahun lepas beliau telah mengeluarkan kenyataan seksis terhadap seorang ahli parlimen wanita mewakili DAP, sehingga terpaksa memohon maaf atas kenyatan berkenaan.
“UMNO Kedah mencadangkan Perikatan Nasional membentuk satu tapisan yang lebih berkesan dalam proses memilih calon wakil rakyat. Seharusnya perlu dibuat saringan ‘mental’ dan ‘psikologi’ daripada mengelakkan kualiti ahli parlimen Langkawi kembali berulang,” ujarnya. – UMNO Online