Belanjawan 2025: Beri Peluang Rakyat Nikmati Hidup Lebih Baik- Mu’izz

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Belanjawan 2025 menjadi bukti komitmen Kerajaan Perpaduan untuk menutup jurang ekonomi dan memberi peluang kepada rakyat bagi menikmati hidup yang lebih baik.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Segambut, Mu’izz Nasruddin berkata, belanjawan tersebut adalah sebuah langkah berani untuk membina masa depan Malaysia dengan mengutamakan kesejahteraan rakyat.

“Belanjawan 2025 yang baru sahaja diumumkan bukan sekadar angka dan peruntukan; ia adalah sebuah langkah berani untuk membina masa depan Malaysia yang lebih baik.

“Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) berazam untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat dan memastikan setiap belanjawan ini sampai kepada mereka yang memerlukannya.

“Melalui pelaburan besar dalam pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan teknologi hijau, Belanjawan 2025 ini adalah satu pelan komprehensif untuk kita melangkah maju sebagai sebuah negara yang makmur serta inklusif. Inilah komitmen Kerajaan Perpaduan, bukan sahaja menutup jurang ekonomi, tetapi untuk memberi peluang kepada setiap rakyat Malaysia menikmati kualiti hidup yang lebih baik,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, pembentangan belanjawan tersebut turut menunjukkan bahawa Kerajaan Perpaduan serius dalam usaha untuk mengembalikan keyakinan rakyat di samping merancakkan ekonomi negara.

“Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri menunjukkan dengan jelas bahawa Kerajaan Perpaduan ini serius dalam mengembalikan keyakinan rakyat dan merancakkan ekonomi negara.

“Apa yang kita lihat hari ini adalah kesinambungan daripada inisiatif penting yang dimulakan sejak 2012. Sebelum ini, kita ada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), satu langkah yang diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah Datuk Seri Najib Razak untuk membantu golongan berpendapatan rendah.

“Dari BR1M kepada Bantuan Sara Hidup (BSH), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), dan kini Sumbangan Tunai Rahmah (STR) – bantuan tunai ini kekal sebagai tonggak dalam memastikan golongan memerlukan tidak terpinggir,” katanya lagi.

Jelasnya, kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira warna politik namun ia memerlukan komitmen semua pihak untuk melaksanakannya.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana meneruskan legasi Kerajaan BN yang terdahulu ini melalui STR, yang kini diperuntukkan sebanyak RM13 bilion dan memanfaatkan lebih 9 juta rakyat! Ini bukti jelas bahawa kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira warna politik.

“Tetapi, kejayaan belanjawan ini tidak boleh hanya bergantung pada peruntukan, ia memerlukan komitmen semua pihak untuk bekerjasama dan memainkan peranan agar belanjawan ini benar-benar memberi manfaat kepada setiap rakyat.

“Dengan pelan yang telus dan pemantauan rapi, kita dapat memastikan setiap inisiatif ini berjalan dengan lancar dan mencapai matlamat yang dihasratkan,” katanya lagi.

Tambahnya, tindakan kerajaan menaikkan gaji minimum turut memberi ruang kepada rakyat untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Seterusnya, isu kenaikan gaji minimum. Kita semua tahu kos sara hidup semakin meningkat, dan bebanan yang dihadapi oleh golongan berpendapatan rendah sangat nyata.

“Kenaikan gaji minimum pada Februari 2025 bukan sahaja memberi ruang kepada pekerja untuk meningkatkan taraf hidup mereka, tetapi ia juga menjadi satu suntikan semangat.

“Bayangkan, dengan gaji yang lebih baik, anak-anak kita boleh menerima pendidikan yang lebih sempurna, keluarga kita boleh menikmati kehidupan yang lebih berkualiti,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru agar pihak majikan menyokong insentif kenaikan gaji minimum untuk mencipta ekosistem pekerjaan yang lebih sihat dan produktif.

“Namun, untuk mencapai kesan yang maksimum, kita perlukan sinergi antara kerajaan dan sektor swasta. Kerajaan berperanan memperkenalkan dasar sokongan dan latihan kemahiran agar rakyat kita terus relevan dalam pasaran pekerjaan yang berubah-ubah.

“Dan kepada pihak majikan, saya menyeru agar bersama-sama menyokong inisiatif ini. Mungkin dengan memberi insentif kepada mereka yang menaikkan gaji pekerja, kita boleh mencipta satu ekosistem pekerjaan yang lebih sihat dan produktif,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit