Sentuh Sensitiviti Agama… Mohd Puad Gesa Haramkan Penganjur ‘Red Dress Run’

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa pihak berwajib untuk mengharamkan penganjur ‘Red Dress Run’.

Ini kerana katanya, berikutan insiden yang berlaku pada Ahad, program larian tersebut telah merosakkan imej Johor Darul Takzim.

“Sepatutnya Hash House Harriers diharamkan terus jadi penganjur apa sahaja aktiviti di Malaysia khususnya di Johor. Itu bukan promosi Johor tapi menjahanamkan imej Johor Darul Takzim.

“Buat apa bawa tradisi Hash House Harriers di negara ini? Banyak budaya negara dan Johor yang boleh digunakan untuk larian amal. Bukannya dengan berpakaian nampak punggung dan promosi LGBT.

“Mana mungkin penganjur terlepas pandang. Sepatutnya mereka boleh nampak pakaian peserta dan boleh halang dari awal lagi penyertaan mereka atau ketika sedang berlari. Batalkan sahaja lesen mereka dan haramkan jadi penganjur masa akan datang. Memalukan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Pada Ahad media melaporkan, Presiden Hash House Harriers, Johor Bahru A Magendran, menjelaskan tujuan larian tersebut adalah untuk mengumpul dana amal dan mempromosikan negeri Johor, khususnya Desaru.

Larian amal bertemakan ‘Red Dress Run’ itu adalah tradisi Hash House Harriers sejak 1968, di mana peserta memakai pakaian bertema merah.

Semalam, polis menahan tiga lelaki termasuk dua warga asing bagi membantu siasatan berhubung program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di Kota Tinggi, Sabtu lalu.

Sebelum ini dilaporkan bahawa tiga peserta— seorang lelaki Taiwan berpakaian tradisional, seorang warga India yang memakai sari bersama blaus, dan seorang lelaki tempatan memakai pakaian tidur—menarik perhatian kerana pakaian luar biasa mereka.

Peserta dari Taiwan tersebut tidak memakai baju dan bahagian punggungnya dikatakan terdedah.

Terkini, dua lagi individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam insiden berpakaian tidak senonoh ketika menyertai Larian Pan Asia 2024 yang menyentuh sensitiviti agama di tempat awam di Bandar Penawar.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, tangkapan terbaharu itu melibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia 70 tahun yang ditahan pada pukul 6 petang semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.