Kemenangan PRK Mahkota Momentum Perjuangan Untuk UMNO/BN Hadapi PRN Sabah

PAPAR, 4 Okt – Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi, menekankan betapa pentingnya kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sebagai pemangkin perjuangan untuk UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang di Sabah.

Beliau percaya bahawa kejayaan BN dalam PRK Mahkota Sabtu lalu adalah petanda positif untuk kelangsungan dan kekuatan parti pada masa hadapan kelak.

“Kemenangan di PRK DUN Mahkota ini bukan hanya untuk merayakan kejayaan, tetapi sebagai titik tolak bagi menyemarakkan semangat dan keyakinan semua ahli UMNO,” katanya kepada UMNO Online sebagai mengulas berkenaan kemenangan Syed Hussien Syed Abdullah mengekalkan BN di DUN Mahkota dengan majoriti besar.

Ujar Jamal, rakyat kini tidak lagi menginginkan politik yang penuh dengan kebencian dan retorik yang tidak berkesudahan, sebaliknya, mereka mahukan kestabilan yang dapat membawa kemakmuran.

“Kita perlu mendengar suara rakyat yang mahukan pembangunan dan penyelesaian terhadap isu-isu yang mereka hadapi sehari-hari. Sebagaimana di Sabah, isu prasarana seperti bekalan air, elektrik, dan jalan raya harus diutamakan,” tambahnya.

Beliau turut menyeru kepada semua anggota parti untuk bersatu dalam usaha meraih sokongan rakyat.

“Parti kita semakin teguh dan berakar kembali, mendapat sokongan semula oleh rakyat kerana kita kembali bersepakat.”

Menurutnya, kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada BN juga merupakan dorongan kuat untuk parti berjuang dengan lebih gigih dalam PRN yang akan datang, bukan sahaja di Sabah, tetapi juga di Johor kelak.

“Kita harus mempersiapkan diri dengan sebaik mungkin untuk menghadapi apa-apa sahaja cabaran termasuklah Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang. Kemenangan di PRK dan insya-Allah pada PRN nanti akan memberikan momentum yang sangat diperlukan untuk terus bergerak ke hadapan,” kata Jamal.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, termasuk pemimpin dan ahli parti yang sentiasa komited dalam perjuangan UMNO/BN.

“Kerjasama dan sokongan semua pihak adalah kunci untuk memperkukuh parti ini. Kita perlu memastikan bahawa usaha-usaha yang dilaksanakan akan memberi manfaat kepada rakyat dan membangunkan negara kita,” ujarnya.

Dalam menghadapi cabaran yang akan datang, Jamal juga menekankan pentingnya untuk terus berpegang kepada prinsip politik yang berasaskan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan yang berterusan.

“Dengan semangat baharu dan tekad yang kuat, UMNO/BN bersedia untuk meraih kejayaan dalam PRN Sabah dan seterusnya pada PRU akan datang,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.