Menangkan BN Untuk Mahkota, Realisasikan Agenda Maju Johor 2030 – Mohd Jafni

KLUANG, 20 Sept – Exco Kerajaan Negeri Johor (Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Datuk Mohd Jafni Md Shukor menekankan pentingnya calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah mengekalkan kemenangan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 28 Sept depan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kulai merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata ini adalah penting bagi memastikan kesinambungan keyakinan pelabur luar kepada Kerajaan Negeri Johor dan memastikan kestabilan yang dilaksanakan sebelum ini terus berlangsung lancar.

“DUN ini sangat penting, maka pengundi di sini berilah sokongan agar Kerajaan Negeri Johor dapat meneruskan keyakinan pihak luar iaitu pelabur untuk nilai pelaburan dan hasil pulangan yang tinggi dapat dikekalkan.

“Ini adalah untuk rakyat juga agar mendapat pulangan yang terbaik bagi kelangsungan kesejahteraan kehidupan iaitu ada pekerjaan, keluarganya dapat makan minum, dapat berbelanja dan hidup selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi podcast #HitamPutihKelabu hasil alternatif daripada Penerangan UMNO Malaysia yang disiarkan melalui laman Facebook UMNO Online sempena PRK DUN Mahkota.

Ujar Mohd Jafni, kemenangan BN dalam PRK DUN Mahkota ini akan dapat menambah keyakinan terhadap kerajaan sedia ada yang mentadbir negeri selari dengan kerajaan Persekutuan.

“Kemenangan ini dapat menambah keyakinan untuk kestabilan politik kerana kita mahukan negeri yang stabil untuk bawa pelaburan masuk.

“Untuk rakyat pula, ia adalah untuk sokongan pengundi yang menunjukkan bahawa rakyat yakin dengan kerajaan ini dan dalam masa yang sama kita akan dapat meneruskan visi Maju Johor 2030.

“Ini adalah antara hasrat Menteri Besar, Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi bagi mencapai sebuah negeri yang maju, ada kestabilan politik dan kemajuan negerinya terjamin. Kalau pelabur nak masuk ke sini mesti mereka melihat kepada keadaan politik yang stabil dan ini telah terbukti apabila Negeri Johor telah menerima pelaburan tertinggi dalam negara pada 2022.”

Dalam hal ini, beliau menyorot zaman kesusahan rakyat ketika masyarakat terbelenggu dalam wabak pandemik COVID-19.

“Ingat zaman susah kita, zaman COVID yang membuatkan ramai orang menjadi susah, kehilangan pendapatan dan sebagainya jadi hari ini di peringkat kepimpinan untuk agenda Maju Johor kita perlu teruskan mentadbir kerana negeri ini tidak boleh dibina kejayaannya dengan hanya sepenggal… perlu ada kesinambungan melibatkan semua pihak termasuk DUN Mahkota.

“Apabila ada kestabilan politik maka akan ada keyakinan dari pelabur dan kita berhempas-pulas untuk selesaikan pelbagai masalah rakyat. Kerana itu DUN Mahkota ini perlu dikekalkan untuk terus bantu rakyat dan mudahkan masyarakat secara menyeluruh,” katanya.

Justeru beliau menyeru semua pihak khususnya masyarakat DUN Mahkota untuk mengekalkan kepimpinan BN dengan memilih calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah.

“Yakinlah bahawa calon yang kita ada ini adalah calon orang baharu yang jiwanya adalah bekerja untuk rakyat. Kerana itu saya rayu semua pengundi untuk keluar mengundi dan undilah calon nombor satu.

“Dengan keyakinan yang diberikan melalui undi ini maka kemajuan dan pembangunan diperingkat negeri akan terus dilaksana dan hasrat untuk bantu rakyat demi agenda Maju Johor 2030 tetap diteruskan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit