Umur Had 40 Tahun: Puteri UMNO Kedah Sambut Baik Keputusan Presiden – Nuraini

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Kedah, Nuraini Yusoff menyambut baik keputusan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu membawa usul had umur sayap tersebut dinaikkan ke 40 tahun ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Ujarnya, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 yang telah melabuhkan tirainya pada 24 Ogos lalu banyak membincangkan mengenai usul-usul untuk memperkasa sayap dan juga parti.

“Sepanjang empat hari PAU berlangsung, para pewakilan dan pemerhati khususnya dapat mendengar amanat daripada Presiden melalui ucapan dasar serta pengulungan. Selain itu kita juga dapat mendengar amanat daripada Timbalan Presiden dan juga Naib-Naib Presiden.

“Kita juga turut meraikan kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) PRK Negeri diikuti dengan pelbagai nasihat dan peringatan yang diberikan oleh para pemimpin UMNO di persidangan kali ini.

“Kalau kita lihat di persidangan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri banyak membincangkan banyak topik berkaitan perjuangan UMNO serta cetusan idea untuk memperkasakan lagi parti, ‘moving forward’ ke depan,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, senario politik yang berubah dan lebih mencabar pada ketika ini menyebabkan sayap paling muda dalam parti itu memohon agar had umur Pergerakan Puteri UMNO dinaikkan ke 40 tahun.

“Sebenarnya usul ni dah lama dibawa dari penggal-penggal yang lepas. Jadi, kali ini Pergerakan Puteri UMNO Malaysia sekali lagi membawa usul ini memandangkan kita lihat senario politik telah banyak berubah dan cabaran yang kita sekarang ni berbeza tertumanya apabila kita bukan lagi menjadi kerajaan dominan.

“Kita melihat ini adalah masa yang paling sesuai untuk dilaksanakan lanjutan had umur Puteri ke 40 tahun memandangkan kalau dulu tugasan Puteri UMNO dalam pilihan raya adalah tertumpu kepada gerak kerja IT dan juga aktiviti-aktiviti wanita muda. Tetapi sekarang portfolio Puteri di dalam pilihan raya pun dah bertukar.

“Kini kita diberi tanggungjawab untuk menjaga pengundi muda di bawah usia 40 tahun bersama-sama dengan Pergerakan Pemuda UMNO. Ini adalah satu jurang yang perlu diisi. Inilah masa yang paling sesuai untuk kita laksanakan had umur 40 untuk selaraskan gerak kerja, tanggungjawab dan juga portfolio yang diberikan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar usul yang dibawa oleh Pergerakan Puteri UMNO untuk menaikkan had umur ke 40 tahun ini dapat diterima bagi memperkasakan lagi gerak kerja sayap tersebut.

“Semasa ucapan penggulungan, Presiden menerima dan berjanji akan membawa usul ini ke dalam mesyuarat MKT. Kita faham bahawa perkara ini melibatkan pindaan perlembagaan Puteri dan juga Wanita maka tidak boleh dibuat keputusan secara terus ataupun diumumkan sama ada lulus atau tidak di dalam PAU yang lepas.

“Jadi, kita menyambut baik keputusan Presiden untuk membawa isu ini ke peringkat yang lebih tinggi dan mudah-mudahan dalam mesyuarat MKT nanti dapat diperhalusi lagi usul ini.

“Kami seluruh Pergerakan Puteri UMNO Malaysia mendoakan supaya akhirnya usul ini akan diterima dalam memperkasakan lagi gerak kerja Puteri UMNO dalam mendampingi pengundi muda untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang,” katanya lagi.

Terdahulu, dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024, Ahmad Zahid berkata, beliau akan membawa perkara itu ke mesyuarat MKT untuk diteliti dan diputuskan.

Usul menaikkan had umur keahlian Puteri sehingga 40 tahun menjadi antara perkara utama dibahaskan perwakilan Puteri UMNO pada PAU 2024 kali ini yang berharap ia diluluskan segera. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit