Pasca-PAU 2024: Pembelaan Melayu-Islam Terus Jadi Inti Misi UMNO – Mu’izz

KUALA LUMPUR, 2 Sept – UMNO sentiasa komited terhadap prinsip pembelaan Melayu-Islam yang terus menjadi inti daripada misi parti, kata Ketua Penerangan UMNO Bahagian Segambut, Mu’izz Nasruddin.

Jelasnya, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 menjadi titik tolak kepada para pemimpin dan ahli parti untuk memperbaharui strategi dalam usaha merelevankan UMNO.

“PAU 2024 bukan sekadar persidangan tahunan biasa, tetapi ia adalah titik tolak bagi kita semua untuk mengintrospeksi dan memperbaharui strategi kita agar terus relevan dan berkesan dalam kancah politik Malaysia yang semakin dinamik.

“Dengan kepimpinan bijaksana dari Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan pandangan strategis dari Naib Presiden UMNO merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Ghani, kita diingatkan akan pentingnya berinovasi serta beradaptasi dengan keadaan semasa.

“Komitmen terhadap prinsip-prinsip pembelaan Melayu-Islam terus menjadi inti dari misi UMNO. Ini termanifestasi dalam struktur organisasi robust atau teguh meluas dari pusat bandar hingga ke kampung-kampung terpencil… Datuk Seri Johari Ghani tekankan pentingnya dalam mempertahankan dan memperkuat jangkauan ini,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, kesatuan, kerja keras dan strategi yang tepat telah membolehkan UMNO/Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

“Dengan kehadiran 191 bahagian dan lebih dari 22,000 cawangan, UMNO tidak hanya dekat dengan rakyat, tetapi juga memastikan bahawa pengaruhnya dirasai dalam kehidupan masyarakat, mempertahankan hak dan prinsip yang kita junjung tinggi.

“Kemenangan di PRK Nenggiri adalah momen yang amat penting, bukan hanya sebagai kemenangan politik, tetapi sebagai lambang kepercayaan rakyat kembali terhadap UMNO. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada saudara Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atas kemenangan beliau di PRK Nenggiri.

“Ini membuktikan bahawa dengan kesatuan, kerja keras dan strategi yang tepat oleh kepimpinan UMNO, kita mampu mengatasi segala cabaran dan mencapai matlamat yang diidamkan. Kemenangan ini harus dijadikan titik permulaan untuk introspeksi yang lebih mendalam dan memperkuat strategi kita di masa hadapan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berpendapat bahawa penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI) mampu mengenal pasti trend pengundi dan menyusun strategi komunikasi.

“Saya juga ingin menyatakan sokongan penuh terhadap pandangan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, mengenai pendekatan menggunakan teknologi AI dalam mengenal pasti trend pengundi dan memahami sentimen rakyat dengan lebih tepat.

“Inisiatif ini sangat penting dalam dunia yang semakin digital, dan saya yakin bahawa dengan memanfaatkan teknologi ini, kita dapat menyusun strategi komunikasi yang lebih berkesan dan responsif terhadap perubahan persepsi rakyat,” katanya lagi.

PAU 2024 yang telah melabuhkan tirainya pada Sabtu lalu mengumpulkan seluruh perwakilan dari 191 bahagian dan berjaya membentuk kesepaduan di antara pemimpin serta akar umbi.

Selepas mengecap kemenangan di PRK Nenggiri, PAU 2024 diwarnai dengan semangat para perwakilan yang menginginkan momentum tersebut diteruskan ke Mahkota yang akan berlangsung pada September. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit