Pasca PRK Nenggiri: Antara Annuar Musa & MB Kedah, Boleh Bawa ‘Cerita Dongeng’ – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Kekalahan Pas yang mewakili Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri Sabtu lalu merupakan prestasi terburuk gabungan itu dalam pilihan raya kecil (PRK) sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata sebelum ini, walaupun tewas dalam PRK seperti di Pulai dan Simpang Jeram, PN berjaya meningkatkan atau mengekalkan peratusan undi mereka, namun keadaan sebaliknya berlaku di Nenggiri.

“Berdasarkan keputusan semalam, peratusan undi PN di kerusi tersebut merosot daripada lebih 50 peratus tahun lalu kepada 38 peratus. PN tidak berjaya mengekalkan, jauh lagi meningkatkan peratusan undi mereka.

“Kekalahan PN ini seharusnya diletakkan di atas bahu Pengarah Operasi Pilihan Raya PN bagi PRK Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa.

“Perikatan Nasional sepatutnya mengambil pendekatan yang lebih strategik dengan mengekalkan Menteri Besar Kedah, YAB Sanusi Md Nor sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil kali ini,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO Online.

Kata beliau lagi, dengan adanya Sanusi sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil, pasti pengundi di Nenggiri akan lebih terhibur dengan cerita cerita ‘dongeng’ yang dibawa oleh Sanusi dalam siri jelajah-jelajah kempen beliau.

“Walau bagaimanapun, Sanusi dan ‘cerita’ beliau mempunyai rekod yang baik kepada PN sepanjang menjadi Pengarah Pilihan Raya Kecil sebelum ini jika dibandingkan dengan Pengarah Pilihan Raya PN yang berkempen bersama beg LV di Nenggiri.

“Apa pun, tahniah saya ucapkan buat calon Barisan Nasional (BN) YB Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang menang majoriti besar iaitu 3,372 undi. Selamat berbakti,” ujarnya lagi.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.