PRK Nenggiri: Calon PPBM Hanya ‘Copy And Paste’ Pas – Mustapha

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Calon PPBM yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (Nenggiri) hanyalah ‘copy and paste’ kepada calon Pas, kata Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub.

Tegasnya, pucuk pimpinan Pas telah menipu ahli dan para penyokongnya apabila mengizinkan Timbalan Ketua Pemudanya keluar daripada parti untuk menyertai PPBM dan kemudian diangkat sebagai calon.

“Ada beberapa fakta yang menarik berhubung pencalonan calon PPBM/Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding dalam PRK DUN Nenggiri yang perlu diteliti oleh ahli dan penyokong Pas serta PPBM.

“Pucuk pimpinan Pas dengan jelas menipu ahli dan penyokongnya di Nenggiri apabila mengizinkan Timbalan Ketua Pemuda keluar dari Pas dan menyertai PPBM dua hari sebelum pengumuman calon. Dalam hal ini Pas telah membelakangi bai’ah ahli tanpa sebarang tindakan.

“PPBM telah diperlekehkan oleh Pas apabila ada beberapa nama tokoh PPBM yang disebut sebelum ini sebagai senarai pendek calon telah tidak terpilih kerana gagal menepati piawaian Pas,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau mengkonklusikan bahawa Pas tidak ada rasa setiakawan terhadap PPBM dalam PN dan berharap agar semua pengundi memberikan sokongan kepada UMNO/BN demi masa hadapan mereka.

“Pas hilang keyakinan kepada PPBM untuk dicalonkan kerana tidak percaya calon itu boleh menyaingi calon UMNO/BN. PPBM dihina apabila pengumuman calon dibuat oleh Menteri Besar Kelantan dan bukan oleh pemimpin PPBM. Sedangkan pemimpin kanan PPBM hadir dalam majlis pengumuman itu.

“Jelaslah Pas sebenarnya mempersendakan PPBM kerana mereka tidak ada rasa setiakawan terhadap PPBM dalam PN. Calon PPBM yang bertanding hanya calon ‘copy and paste’ Pas. Calon anak tumpang Pas ke dalam PPBM.

“Oleh yang demikian, Veteran UMNO meminta dan merayu semua penyokong PPBM di Nenggiri supaya kembali menyokong serta mengundi UMNO/BN dalam PRK pada 17 Ogos nanti,” katanya lagi.

Pada Selasa media melaporkan calon PPBM pada PRK DUN Nenggiri, Mohd Rizwadi Ismail, dikatakan baru menyertai parti itu dua hari sebelum diumumkan sebagai calon.

Pemilihan Mohd Rizwadi yang juga bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang dikatakan dibuat pada saat akhir berbanding dua nama yang disebut-sebut sebelum ini membabitkan Sheikh Razali Hamad dan Sun Najaman Muhamad.

Keputusan itu juga dibuat selepas perbincangan di antara pimpinan PN menemui jalan buntu selain bimbang berlaku boikot dalam kalangan jentera apabila mengekalkan calon daripada PPBM. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.