BN Bina Politik Perpaduan Sejak Awal Penubuhan, Raikan Kepelbagaian Rakyat – Zambry

SANDAKAN, 24 Julai – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata hanya BN satu-satunya parti gabungan yang membina politik perpaduan sejak awal penubuhannya bagi meraikan kepelbagaian rakyat.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata ia dilakukan demi membina negara bangsa yang diimpikan oleh segenap rakyat negara ini bagi menggarap kebersamaan sebagai rakyat Malaysia.

“Hanya BN yang dapat membina politik perpaduan itu bayangkan kita mempunyai 13 parti ketika itu. Malah bagaimana kita nak menyusun rakyat yang ada kepelbagaian.

“Contoh dalam konteks Sabah bukan hanya ada satu etnik paling tidak ada 30 sub-etnik dalam negeri Sabah. Bagaimana kita nak menjaga? Begitu juga di Semenanjung dan di tempat yang lain.

“… tetapi kita satukan kerana apa? Kerana BN itu mempunyai satu impian untuk membina negara-negara impian iaitu kebersamaan dalam kalangan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Himpunan BN Sabah dan Konvensyen BN Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas BN ke-50 yang diadakan di Dewan SMJK Tiong Hua, pada Ahad.

Turut hadir Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri; Bendahari BN, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan kepimpinan lain.

Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi dalam pada itu berharap akar umbi BN untuk bersama untuk memperteguhkan parti ini melalui pelaksanaan gerak kerja terbaik dalam parti-parti komponen.

Beliau juga mengajak untuk setiap dalam kalangan ahli parti mengambil pengajaran daripada cabaran-cabaran terdahulu sebagai pembakar semangat untuk meneruskan agenda pembangunan rakyat seperti mana yang telah dibawa oleh kepimpinan terdahulu.

“Mungkin ada kekurangan kita betulkan itu ada kala menangis, ada kala gembira tetapi seperti mana menangis itu ambil sebagai pengajaran untuk membetulkan keadaan.

“… dan itulah BN dibina 50 tahun, mari kita sama-sama bina semula mentaliti kemenangan. Kalau kita ada keyakinan itu apa saja rintangan yang datang di hadapan insya-Allah dapat diharungi dengan selesa.

“Keyakinan dalam diri kita ada gelombang perjuangan itu dan setiap perjuangan itu kita tahu ada pasang turutnya tetapi yang paling mustahak ialah keyakinan yang perlu ada dalam jiwa. Semoga perjuangan BN di negeri Sabah ini akan terus dipertahankan, diperkukuhkan,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.