Ab Rauf Gesa Ahli UMNO Main Peranan Aktif Dengan Aplikasi Media Sosial

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Ketua Menteri merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Ab Rauf Yusoh menggesa anggota UMNO untuk memainkan peranan lebih aktif dalam mengaplikasi teknologi bagi menarik sokongan pengundi.

Katanya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, kaedah media sosial memainkan peranan yang sangat besar dan cukup efektif malah telah terbukti menerusi Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

“Kini era politik baharu kerana medium untuk mendekati rakyat telah berubah daripada zaman analog kepada zaman digital dan sekarang berubah ke zaman artificial intelligence (AI).

“Pendekatan kepada pengundi juga berubah apabila pengundi berdaftar secara automatik setelah berusia 18 tahun, maka medium media sosial menjadi rujukan golongan ini untuk mengetahui perkembangan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Bukit Bintang yang berlangsung semalam.

Jelas Ab Rauf, sebelum ini format gerak kerja lama sangat berkesan dan peranan itu sangat penting untuk menguasai minda masyarakat dalam politik tetapi dengan teknologi semuanya turut berubah.

“Dalam media sosial, kemudahan untuk merakyatkan parti atau calon dah tak perlu… bukan lagi secara manual tapi hanya menggunakan siapa yang lebih popular. Dulu kita letakkan semua calon dalam surat khabar tapi sekarang dah berubah.

“UMNO sebelum ini hanya menggunakan kempen secara konvensional, saluran kerajaan dan lain-lain sedangkan pihak lawan ketika itu telah menggunakan e-handbill.

“Maka dalam PRU lalu, anak muda menggunakan calon yang popular dalam media sosial sebagai rujukan sahaja, dan kita tewas.”

Sehubungan itu, beliau meminta UMNO Bahagian Bukit Bintang yang diketuai oleh Datuk Tengku Azman Zainol Abidin untuk menjadi hub dan pusat bagi memainkan peranan yang lebih baik dengan mengaplikasi teknologi untuk masa depan parti.

“Tak sama keadaan di kampung dan bandar. Walaupun sebagai kerajaan ada pelbagai medium untuk bantu rakyat, namun teknologi mengubah segala-galanya.

“Penggantian ini mengikut arus perkembangan semasa. Kaedah dan pengajaran ini mengajar kita bagaimana untuk meneruskan perjuangan ini. Maka kita perlu fikirkan UMNO pada masa hadapan, 10 tahun akan datang apa nak jadi dengan UMNO. Kita perlu memikirkan siapa yang akan mewarisi kepimpinan kita hari ini.”

Justeru katanya, peranan yang dimainkan dalam dunia digital ini akan mengubah minda orang muda dan dapat memulihkan sokongan kepada UMNO.

“Bangkitlah meneruskan perjuangan walaupun tak sama dan keadaan UMNO Bukit Bintang berbeza dengan bahagian-bahagian lain namun buatlah, jadikan di sini sebagai pusat bagi membantu memperkuatkan UMNO kembali,” katanya lagi yang juga Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit