PRK: Akmal Yakin Kebolehan Mohd Azmawi, Jamin Kualiti Terbaik Untuk Nenggiri

KUALA LUMPUR, 19 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani merupakan calon terbaik diketengahkan Barisan Nasional (BN) untuk membawa suara rakyat Nenggiri ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata banyak kelebihan yang dimiliki Azmawi yang merupakan anak tempatan, termasuk latar belakang pendidikan dan pengalaman dalam politik khidmat bakti kepada rakyat.

“Tahniah sahabat seperjuangan saya Mohd Azmawi yang dicalonkan sebagai calon BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri.

“Anak tempatan, berpendidikan, berbudi bahasa dan saya pasti dan yakin sahabat saya ini jika dipilih sebagai wakil rakyat bagi rakyat Nenggiri ini akan menjadi seperti ADUN Duyong, Mohd Noor Helmy versi kelate.

“Jika calon yang datangnya dari Pemuda, saya jamin insya-Allah kualiti perkhidmatannya juga sangat tip top! Itu jaminan saya! Apa lagi, Nenggiri undi Mawi deh,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Semalam UMNO Kelantan mengumumkan Mohd Azmawi yang juga Ketua Pemuda UMNO Gua Musang berusia 38 tahun sebagai calon pada PRK DUN Nenggiri.

Mohd Azmawi dalam pada itu berjanji akan menggalas tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh parti dengan sebaik mungkin walaupun pertama kali bakal berentap di PRK  bagi menjadikan Nenggiri ke arah yang lebih baik.

PRK diadakan selepas Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lalu mengumumkan kekosongan kerusi terbabit berikutan penyandang, Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian PPBM kerana menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan, manakala penamaan calon dan pengundian awal, masing-masing 3 dan 13 Ogos. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit