UMNO Kuala Pilah Ikrar Terus Kukuhkan Parti, Dekati Rakyat Sampaikan Aspirasi

KUALA PILAH, 30 Jun – UMNO Bahagian Kuala Pilah berikrar untuk terus memperkukuh parti keramat di peringkat akar umbi bagi terus mendekati rakyat dalam menyampaikan aspirasi parti.

Ketuanya, Datuk Ismail Lasim berkata langkah tersebut amat penting bagi memastikan parti ini terus relevan terutama dalam mendepani landskap politik yang kian berbeza.

“Alhamdulillah kerana kita di Kuala Pilah sentiasa bersyukur, memahami bahawa perlu memperkukuh dan kuatkan UMNO ini kerana parti yang kita sayangi telah terbukti membela nasib kita selama ini.

“Kita bersama Kerajaan Perpaduan, pimpinan-pimpinan parti sedikit sebanyak terus menerus menyatuni rakyat di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Pilah yang dirasmi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang diadakan di Dewan KPDNHEP Kuala Pilah, di sini.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Timbalan Ketua UMNO Bahagian merangkap Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan; Ketua Wanita UMNO Bahagian, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid dan kepimpinan bahagian yang lain.

Ismail yang juga Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan dalam pada itu turut sama berkongsi kepentingan memanfaatkan media sosial.

Ini kerana menurut beliau, ia bagi memastikan gerak kerja menyantuni rakyat dalam kalangan pemimpin dan wakil rakyat dapat dikongsi sama oleh pengundi Kuala Pilah yang berada di luar kawasan.

“Pada masa sama kita tak menafikan perlunya media sosial itu sebabnya khusus demi khusus kerana kita nak kerana sebahagian daripada anak-anak yang mengundi di Kuala Pilah ini tak duduk di kawasan.

“Jadi mereka kena tahu apakah wakil rakyat pemimpin UMNO buat, mereka tak akan tahu kalau kita tak sebar luaskan maklumat-maklumat ini dalam media sosial,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit