Permasalahan Masyarakat Antara Tumpuan ADUN Jeram Padang Pada Sidang DUN Negeri Sembilan
SEREMBAN, 8 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir membangkitkan beberapa permasalahan masyarakat setempat yang perlu diperhalusi bagi mencari jalan penyelesaian sebaiknya.
Berucap pada sesi perbahasan titah ucapan Yang Di-pertuan Besar Negeri Sembilan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang memasuki hari ketiga, semalam, beliau menjelaskan masalah kesesakan jalan raya di laluan utama Seremban-Kuala Pilah memerlukan tindakan sewajarya.
Menurut beliau perlu ada inisiatif dan usaha untuk menyelesaikan masalah berkenaan dan perkara tersebut sering menjadi rungutan kepada pengguna jalan raya terutama bagi masyarakat Kuala Pilah, Jelebu dan Jempol.
“Saya juga ingin memohon pembinaan jalan baharu luar bandar di antara Felcra Rompin (B) ke Felda Palong 2 bagi memudahkan pelajar-pelajar dari kawasan Felcra Rompin (B) dan sekitar Rompin bersekolah di SMK Felda Palong 2.
“Langkah ini juga memastikan SMK Palong 2 terus berfungsi kerana pada hari ini bilangan pelajarnya semakin berkurangan. Di samping itu juga jalan ini akan menjadi jalan pintas ke Palong dan dapat membangunkan kawasan Felcra Rompin dan sekitar Pekan Rompin.
“Maka dengan adanya jalan ini kegiatan ekonomi di kalangan masyarakat DUN Jeram Padang dapat dirancakkan secara menyeluruh. Mohon tindakan dan sokongan dari KKDW,” katanya.
Pada sesi perbahasan itu juga beliau turut membangkitkan permasalahan di kalangan peneroka Felda.
“Antaranya rungutan peneroka mengenai hutang peneroka, mereka tidak dapat penyata hutang di mana mereka ingin tahu berapa jumlah yang telah dibayar dan berapa baki hutang yang masih belum selesai,” ujarnya.
Zaidi seterusnya membangkitkan gangguan air yang sering berlaku di kawasan Felda selain permasalahan paip pecah.
“Selain itu masalah gangguan air juga sering berlaku di kawasan Felda dan sering berlakunya paip pecah. Saya harap pihak Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) mengambil tindakan dan inisiatif untuk mengatasi masalah ini. Mohon penjelasan kepada agensi yang terlibat,” ujarnya.
Pada masa yang beliau turut merakamkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah menyelesaikan projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang terbengkalai di Felda Pasoh 3, Felda Palong 12 dan Felda Palong 16 sebanyak 510 unit.
“Terima kasih juga diucapkan kepada Datuk Seri Jalaluddin Alias, Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan kerana telah menyelesaikan 909 unit Perumahan Generasi Baharu Felda di empat rancangan di Felda Pasoh 2, Felda Bukit Jalor, Felda Bukit Rokan Utara dan Felda Palong 8.
“Di kesempatan ini juga saya ingin mengambil peluang untuk mengutarakan soal jalan utama ke kawasan Kampung Orang Asli Panchor yang memerlukan jajaran dan dibina baharu memandangkan jalan sedia ada yang melalui tanah milik ladang Sime Darby telah rosak teruk akibat kenderaan berat oleh pihak ladang.
“Adalah menjadi kerugian besar kepada kerajaan sekiranya masih lagi menggunakan jalan ini. Oleh itu saya memohon pihak JKOA dan KKDW memandang serius perkara ini demi kemudahan asas bagi penduduk Kampung Orang Asli Panchor, Sg. Klebang dan Lubuk Lawang,” ujarnya. – UMNO Online