UMNO Putrajaya Pandang Serius Isu Sensitif – Tengku Hafiz

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Ketua Penerangan UMNO Putrajaya, Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan berkata pihaknya mengambil serius tentang suhu politik negara ketika ini yang banyak berkisar tentang isu-isu sensitif.

Menurut beliau isu-isu berkenaan antara lain berkaitan keputusan kerajaan menyenaraikan makanan Bak Kut Teh dalam senarai makanan warisan negara dan kenyataan Profesor Teo Kok Seong Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN).

“Mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian Putrajaya yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Tengku Adnan Tengku Mansor telah membincangkan tentang isu tersebut dan akhirnya mengambil ketetapan seperti berikut.

“Dalam isu Bak Kut Teh, mesyuarat sebulat suara tidak bersetuju dan tidak menyokong tindakan kerajaan menyenaraikan makanan tersebut dalam senarai makanan warisan negara. Kerajaan seharusnya meneliti dan mengambil kira sensitiviti kaum dan agama dalam negara sebelum membuat sebarang keputusan atau polisi penting.

“Memahami peranan kerajaan terutama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam usaha meningkatkan sektor pelancongan negara, kerajaan sewajarnya mengambil pendekatan seperti kata peribahasa Melayu ‘jangan sampai sesat barat, sepuluh kali diukur sekali dikerat’,” katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi UMNO Bahagian Putrajaya juga mahu kerajaan menyiasat tentang hasil dapatan Profesor Teo Kok Seong yang menyebut tentang masalah sekolah vernakular yang menjadi penghalang kepada perpaduan negara dan kaum.

Kata beliau lagi setelah lebih 60 tahun negara merdeka, tidak sepatutnya berlaku perkara sedemikian dan sekolah seharusnya menjadi tempat untuk masing-masing mendidik anak bangsa menjadi warganegara yang baik, bukan menjadi tempat pemecah-belah atau melahirkan pelajar yang memandang hina kepada kaum lain.

“Perkara ini jika tidak diatasi dengan sebaiknya boleh menjadi virus dan merosakkan asas negara kita. Justeru, tanggungjawab kerajaan sekarang untuk mencari jalan menambahbaik struktur pendidikan negara dan tidak menyalahkan sesiapa atau dasar-dasar sebelum ini.

“Pelbagai pihak berkepentingan dan pemegang taruh perlu dilibat urus supaya satu jalan penyelesaian boleh dicapai agar usaha integrasi kaum dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“UMNO Bahagian Putrajaya juga bersetuju dengan saranan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia agar kerajaan dapat membuka kembali ruang dialog nasional bagi meneroka wawasan baharu ke arah integrasi pendidikan negara.

“Saranan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia tersebut wajar diperhalusi. Sejarah pembetukan negara yang dibina bersandarkan perpaduan dalam kepelbagaian semakin pudar dalam kalangan generasi baharu,” tegasnya.

Tegas beliau lagi sebagai rakyat Malaysia, semua wajib mempertahankan keharmonian dan kemakmuran yang diwariskan oleh bapa-bapa perjuangan terdahulu.

“Setiap warganegara mesti memahami prinsip rukun negara yang ketiga iaitu keluhuran perlembagaan,” ujarnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.