Dari Parlimen: Sama-Sama Hayati Titah Agong… Patuh Perlembagaan, Cakna Suara Rakyat – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias melihat titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini menggambarkan keprihatinan baginda terhadap rakyat negara ini.

Bagi Jalaluddin, bait-bait titah baginda Tuanku Agong ketika Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Majlis Parlimen ke-15, menunjukkan hasrat baginda Tuanku Agong agar kehidupan rakyat diperjuangkan khususnya oleh ahli-ahli parlimen.

“Bait-bait titah baginda Tuanku ini jauh menggambarkan betapa baginda amat mengharapkan kehidupan rakyat jelata sentiasa diperjuangkan dengan sepenuh keringat, khususnya oleh ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah dipilih melalui amalan demokrasi berparlimen.

“Saya juga menjunjung tinggi cadangan baginda Tuanku untuk merangka satu dasar dan strategi ke arah perpaduan rakyat yang lebih harmoni. Dengan mengambil contoh masih ada pihak yang belum arif dalam menutur Bahasa Kebangsaan dan tidak memahami budaya hidup bangsa lain, ternyata Tuanku memiliki misi dan visi yang luas serta jauh dalam mempertahankan perpaduan berasaskan Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, Yang di-Pertuan Agong tidak mahu mana-mana ahli Dewan mahupun rakyat memainkan isu sensitif melibatkan Raja, kaum dan agama. Inilah yang juga sering diperjuangkan oleh Kerajaan Madani ketika ini,” katanya kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Kata Jalaluddin lagi, asasnya, titah penzahiran Tuanku pada hari ini lebih berfokus kepada mengangkat tinggi kedudukan dan fungsi Perlembagaan Persekutuan dengan disulami pengamalan nilai-nilai pada Rukun Negara.

“Baginda juga tidak mahu kestabilan politik di negara ini diganggu-gugat oleh mana-mana pihak yang mungkin mahu melihat kerajaan semasa digulingkan.

“Selaku ahli Dewan, saya akan berjanji untuk menjunjung tinggi titah baginda Tuanku agar dapat menjaga adab dan tatatertib ketika berada di dalam Dewan, serta memberi partisipasi yang baik untuk pembentukan dasar yang bermanfaat kepada rakyat,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit