Taib Mahmud Seorang Pemimpin Progresif, Dinamik – Ahmad Zahid

OSAKA, 21 Dis – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud sebagai seorang pemimpin yang progresif dan dinamik.

Bercakap kepada media Malaysia di sini hari ini, beliau yang kini dalam rangka lawatan kerja tujuh hari ke Jepun bermula 17 Februari lepas berkata, bekas Ketua Menteri Sarawak itu juga telah memberikan sumbangan besar di peringkat nasional dan negeri.

“Saya bagi pihak rakan-rakan ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Pehin Sri Hj Abdul Taib Mahmud, mantan TYT (Yang di-Pertua Negeri) Sarawak dan Ketua Menteri Sarawak.

“Sesungguhnya pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada negara khususnya kepada rakyat Sarawak atas sumbangan besar yang telah diberikan beliau di peringkat nasional apatah lagi di peringkat Sarawak dan beliau adalah merupakan seorang yang progresif dan dinamik kepimpinannya,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Allahyarham juga adalah seorang pemimpin yang banyak memberikan idea-idea baharu untuk kepentingan rakyat.

“Saya secara peribadi mengenalinya dan beliau banyak memberikan idea-idea baru kepada saya untuk mentadbir kementerian yang saya ketuai sebelum itu dan ketika ini.

“Saya mohon supaya seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar Allahyarham diberikan rahmat oleh ALLAH SWT,” katanya.

Abdul Taib, 87, meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada jam 4.40 pagi tadi.

Pengurusan jenazah Allahyarham dilakukan di Masjid Negara sebelum dibawa pulang ke Kuching untuk dikebumikan. – Bernama

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.