Menjunjung Setia, Membangkitkan Kembali UMNO
Assalamualaikum para pejuang UMNO, saya mendoakan agar kita semua dalam limpahan kerahmatanNya serta terus bersatu padu dalam parti keramat yang kita cintai ini.
Saya yakin bahawa kebanyakan daripada kita sedang sibuk menguruskan kehidupan masing-masing dengan mendepani rencah politik semasa yang pelbagai.
Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri pada Ogos lalu, beberapa pilihan raya kecil (PRK) telah berlaku. Ada yang berpihak kepada Kerajaan Perpaduan dan ada juga sebaliknya. Yang terkini, PRK Kemaman telah menyaksikan kekalahan Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 37,720 undi.
Keputusan tersebut mencambahkan pelbagai perasaan yang tentunya ada keluhan lantaran rasa keletihan dengan kekalahan yang berlaku. Rasa penolakan rakyat terhadap UMNO dan BN turut menjadi beban yang berat. Namun, tetap yakinlah bahawa jika kita kekal istiqamah dalam perjuangan ini, pasti kita akan mencapai kejayaan.
Kita baru sahaja menghadapi beberapa tahun kekalahan, tetapi kita juga tidak boleh melupakan bahawa UMNO telah meraih kejayaan sejak dari penubuhannya. Setiap dari kita dilahirkan dan membesar dalam suasana UMNO berada di puncak kegemilangan.
Takkan semata-mata kita baru merasai kekalahan kita sudah hendak mengalah? Takkan semata-mata hari ni kita tidak diterima dan ditolak, kita sudah berputus asa?
Adakah semudah itu hati dan semangat kita, generasi yang dibesarkan pada masa kegemilangan UMNO, untuk menyerah pada saat UMNO mengalami kekalahan? Bukankah lebih baik kita mengambil kekecewaan ini sebagai satu dorongan untuk terus berjuang?
Ya… banyak yang perlu kita lakukan kalau kita ingin kembali disegani. Kita perlu menyesuaikan gerak kerja kita dengan keperluan semasa. Kita perlu memberi tumpuan kepada indoktrinasi dan perkaderan. Kita perlu mengembalikan roh perjuangan kepada ahli-ahli kita. Ini merupakan antara perkara yang kita telah gagal lakukan sejak sekian lama.
Namun, ini tidak hanya terletak pada bahu kepimpinan. Ini juga tanggungjawab kita sebagai ahli di akar umbi. Tanggungjawab kita sebagai pewaris perjuangan orang-orang terdahulu dari kita.
Kepahitan dan kekalahan yang kita alami adalah cerminan sebenar tentang siapa kita dalam perjuangan ini. Mereka yang begitu bersemangat melaungkan perjuangan di waktu senang belum tentu terus kekal bertahan dalam dugaan kepayahan pada waktu sukar. Tidak ramai yang mampu bertahan dalam saat-saat sukar seperti ini.
Namun, kita sebagai insan yang sentiasa dalam perjuangan tidak kira di waktu sukar mahupun senang, maka tentunya kita kuat. Benar UMNO/BN tewas dalam PRK terbaharu namun itu tak bermakna perjuangan UMNO sudah mati sebaliknya ia adalah titik permulaan kepada kebangkitan yang lebih nyata.
Insya-Allah, asalkan kita terus berdiri kukuh di akar umbi ini, UMNO tidak akan terkubur dan pasti akan bangkit kembali.
Tiada yang lebih berharga daripada kesetiaan; itulah nilai yang besar dalam perjuangan.
Ambillah bait-bait kata dari Dato’ Onn Jaafar, Pengasas UMNO sebagai renungan kita bersama;
“𝘔𝘢𝘳𝘪𝘭𝘢𝘩 𝘬𝘪𝘵𝘢 𝘵𝘶𝘯𝘫𝘶𝘬𝘬𝘢𝘯 𝘬𝘦𝘱𝘢𝘥𝘢 𝘥𝘶𝘯𝘪𝘢 𝘪𝘢𝘪𝘵𝘶 𝘙𝘖𝘏 𝘥𝘢𝘯 𝘚𝘌𝘔𝘈𝘕𝘎𝘈𝘛 𝘥𝘢𝘵𝘶𝘬 𝘯𝘦𝘯𝘦𝘬 𝘬𝘪𝘵𝘢 𝘪𝘵𝘶 𝘮𝘢𝘴𝘪𝘩 𝘢𝘥𝘢 𝘭𝘢𝘨𝘪 𝘥𝘦𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘬𝘪𝘵𝘢”
“𝘔𝘢𝘳𝘪𝘭𝘢𝘩 𝘬𝘪𝘵𝘢 𝘵𝘶𝘯𝘫𝘶𝘬𝘬𝘢𝘯 𝘪𝘢𝘪𝘵𝘶 𝘬𝘪𝘵𝘢 𝘮𝘢𝘴𝘪𝘩 𝘣𝘰𝘭𝘦𝘩 𝘮𝘦𝘯𝘨𝘢𝘯𝘨𝘬𝘢𝘵 𝘬𝘦𝘱𝘢𝘭𝘢 𝘬𝘪𝘵𝘢 𝘥𝘢𝘯 𝘮𝘦𝘯𝘢𝘵𝘢𝘱 𝘥𝘶𝘯𝘪𝘢 𝘣𝘢𝘨𝘢𝘪𝘮𝘢𝘯𝘢 𝘰𝘳𝘢𝘯𝘨 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘣𝘦𝘯𝘢𝘳 𝘥𝘢𝘯 𝘬𝘶𝘢𝘵 𝘩𝘢𝘵𝘪𝘯𝘺𝘢…”
“𝘛𝘶𝘯𝘫𝘶𝘬𝘬𝘢𝘯𝘭𝘢𝘩 𝘣𝘢𝘩𝘢𝘸𝘢 𝘬𝘪𝘵𝘢 𝘴𝘦𝘣𝘦𝘯𝘢𝘳-𝘣𝘦𝘯𝘢𝘳𝘯𝘺𝘢 𝘬𝘦𝘵𝘶𝘳𝘶𝘯𝘢𝘯 𝘥𝘢𝘵𝘶𝘬 𝘯𝘦𝘯𝘦𝘬 𝘬𝘪𝘵𝘢 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘮𝘦𝘯𝘨𝘩𝘢𝘥𝘢𝘱 𝘮𝘦𝘳𝘣𝘢𝘩𝘢𝘺𝘢 𝘥𝘦𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘣𝘦𝘳𝘴𝘢𝘵𝘶 𝘩𝘢𝘵𝘪”
Salam Perjuangan,
𝗠𝗢𝗛𝗗 𝗦𝗛𝗨𝗞𝗥𝗬 𝗕𝗜𝗡 𝗥𝗢𝗦𝗟𝗔𝗡
Penulis 𝘢𝘥𝘢𝘭𝘢𝘩 𝘒𝘦𝘵𝘶𝘢 𝘗𝘦𝘯𝘦𝘳𝘢𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘜𝘔𝘕𝘖 𝘉𝘢𝘩𝘢𝘨𝘪𝘢𝘯 𝘚𝘦𝘭𝘢𝘺𝘢𝘯𝘨. 𝘔𝘢𝘯𝘵𝘢𝘯 𝘱𝘦𝘯𝘤𝘦𝘳𝘢𝘮𝘢𝘩 𝘥𝘢𝘯 𝘛𝘦𝘯𝘢𝘨𝘢 𝘗𝘦𝘯𝘨𝘨𝘦𝘳𝘢𝘬 𝘉𝘪𝘳𝘰 𝘛𝘢𝘵𝘢𝘯𝘦𝘨𝘢𝘳𝘢. 𝘈𝘬𝘵𝘪𝘷𝘪𝘴 𝘴𝘦𝘳𝘵𝘢 𝘱𝘦𝘯𝘤𝘦𝘳𝘢𝘮𝘢𝘩 𝘣𝘦𝘣𝘢𝘴 𝘶𝘯𝘵𝘶𝘬 𝘭𝘪𝘵𝘦𝘳𝘢𝘴𝘪 𝘱𝘰𝘭𝘪𝘵𝘪𝘬, 𝘱𝘦𝘳𝘭𝘦𝘮𝘣𝘢𝘨𝘢𝘢𝘯 𝘥𝘢𝘯 𝘯𝘢𝘴𝘪𝘰𝘯𝘢𝘭𝘪𝘴𝘮𝘦.