Perpaduan Kaum Kunci Utama Keharmonian, Kesejahteraan Rakyat Dan Negara – Agong

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Perpaduan berbilang kaum ialah kunci utama kepada keharmonian dan kesejahteraan rakyat dan negara, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menerusi hantaran melalui Facebook Istana Negara hari ini, Seri Paduka bertitah ia bersesuaian dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini iaitu “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”.

“Malah, keutuhan perpaduan ini adalah juga kunci utama kepada kestabilan dan kemakmuran negara serta benih dan sumber kekuatan bagi kita menghadapi apa jua cabaran semasa dan mendatang,” titah Al-Sultan Abdullah.

Seri Paduka turut menyeru rakyat untuk mengimbau kembali lebih enam dekad yang lepas apabila semangat kenegaraan dan cintakan tanah air telah menyatupadukan rakyat dengan tekad dan iltizam sehingga kemerdekaan yang diidamkan menjadi realiti.

Al-Sultan Abdullah juga menyeru rakyat untuk menghargai dan menghayati jasa para pemimpin, pejuang dan patriot kemerdekaan negara dalam memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat selain jasa anggota pasukan keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“Justeru, menjadi tanggungjawab bersama para pemimpin dan rakyat dalam bukan sahaja memelihara dan mengukuhkan lagi keharmonian serta perpaduan yang dikecapi selama ini, malah menyemarakkannya lagi sesama kita,” titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar Malaysia terus dilimpahi kemakmuran, kesejahteraan dan perpaduan yang berkekalan serta dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dan bencana.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Kebangsaan 2023 kepada seluruh rakyat Malaysia di negara ini mahupun yang berada di luar negara.

Seri Paduka berdua merafak kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya baginda berdua dan seluruh rakyat Malaysia dapat bersama-sama meraikan ulang tahun hari bersejarah ini pada usia kemerdekaan negara menginjak ke-66 tahun, dalam suasana harmoni serta aman dan damai. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.