Abd Razak Dekati Semua Peringkat Rakyat, Bawa Aspirasi Pembangunan
TAMPIN, 3 Ogos – Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas, Datuk Abd Razak Ab Said memaklumkan siri kempennya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dilakukan secara menyeluruh dalam mendekati pelbagai lapisan masyarakat.
Katanya pendekatan sebegini adalah penting bagi memastikan perancangan agenda di kawasan difahami sebaiknya oleh rakyat.
“Selain golongan muda kita juga memfokuskan pengundi bawah 40 tahun, berkenaan keperluan dan kehendak mereka begitu juga umur pertengahan.
“Kena menyesuaikan keadaan untuk memastikan bahawa mesej yang hendak kita bawa disampaikan dengan jelas, baik dan berkesan.
“Seperti saya katakan, anak muda ada caranya, orang dewasa dan orang lama pun kita tidak akan tinggalkan meskipun dikatakan golongan ini adalah ‘fix deposit’ namun tidak boleh untuk ambil ringan,” katanya.
Beliau dalam pada itu melihat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan perlu dijadikan rangsangan terbaik untuk dibawa ke negeri ini demi manfaat kepada rakyat.
“Kita hendak melihat kerjasama di antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri membawa gabungan ini memberi impak yang baik kepada rakyat dan negeri.
“…agar kebersamaan kita menjadi entiti yang lebih baik untuk menjana kemakmuran, kestabilan dalam mendepani masa hadapan yang lebih baik,” ujar beliau.
Untuk rekod, DUN Gemas ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Abd Razak dengan Ridzuan Ahmad yang mewakili Perikatan Nasional (PN). – UMNO Online