Naratif Keputusan PRN Bakal Beri Kesan Kepada Kerajaan Pusat Sekadar Dakwaan kelirukan Pengundi – Khaled

BATU RAKIT, 31 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melihat naratif yang dibawa oleh pihak lawan kononnya keputusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal memberi kesan terhadap kerajaan pusat adalah sekadar untuk mengelirukan pengundi membuat pilihan yang tepat.

Menurut beliau dakwaan sedemikian hanyalah untuk mengalihkan tumpuan kepada isu sebenar khususnya pelaksanaan terhadap segala janji dan tawaran yang dibuat pada Pilihan raya Umum (PRU) yang lalu.

“Pilihan raya yang sedang kita lalui pada hari ini adalah untuk memilih kerajaan negeri dan matlamatnya adalah untuk mewujudkan kerajaan negeri. Apa pun keputusan yang berlaku pada PRN ini ianya tidak akan mengubah kedudukan kerajaan di peringkat pusat.

“Memang ada cubaan membuat naratif seolah-olah kalau mereka menang kerajaan pusat akan jatuh… itu semata-mata untuk mengaburi pemikiran pengundi yang merasakan bahawa kerajaan pusat juga akan turut terjejas.

“Sebenarnya mereka tidak ada pilihan kerana banyak tidak tunaikan janji dan tidak tunaikan apa yang diletakkan di dalam manifesto mereka dalam PRU-14 yang lepas pada peringkat negeri. Inilah sebenarnya malah mereka tidak mahu rakyat menilai mereka berasaskan kepada hakikat tersebut,” katanya kepada UMNO-Online.

Terdahulu beliau mengadakan kunjungan bertemu jentera parti di Dewan Undangan (DUN) Batu Rakit.

Menjelaskan lebih lanjut Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi seterusnya menambah pihak lawan sebenarnya khuatir serta bimbang pengundi akan membuat penilaian serta pemilihan berpandukan kepada kedudukan semasa kerajaan di peringkat pusat hari ini yang diterajui kerajaan perpaduan.

“Apabila pengundi tahu kerajaan pusat tidak terjejas maka setiap pengundi akan buat penilaian yang betul bagaimana mereka mahu menggunakan hak mereka sebagai pengundi. Sebab mereka dah tahu kerajaan pusat tetap kekal.

“Jadi apabila mahu memangkah mereka akan berasaskan hakikat itu dan inilah yang menakutkan parti lawan. Kalau pengundi sedia maklum tentang perkara itu tentunya mereka akan akan memihak kepada kerajaan pusat.

“Jadi dia kena beritahu kalau undi mereka kerajaan pusat akan jatuh. Jadi logiknya tidak kena kerajaan pusat akan tetap dengan 148 sokongan dan kerajaan pusat tetap ada,” ujarnya lagi.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.