BN Selangor Masuk ‘Gear Lima’, Bantu Parti Capai Kemenangan – Mohd Zaidi
KUALA LUMPUR, 19 Julai – UMNO dan Barisan Nasional (BN) Selangor kini memasuki ‘gear lima’ dalam usaha memastikan gerak kerja dan perjalanan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) berkenaan berjalan dengan sebaiknya sekaligus bakal memberi impak untuk kemenangan kelak.
Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain berkata untuk itu pelbagai perancangan serta pelaksanaan telah pun diatur di pelbagai peringkat jentera parti khususnya dalam usaha merapatkan lagi kebersamaan pada PRN nanti.
“Sekarang ini sudah tentu berbeza, dahulu kita masuk secara solo dan sekarang ini kita masuk bersama PH (Pakatan Harapan). Jadi sudah tentu jentera yang kita bentuk itu adalah jentera yang bersesuaian dengan permuafakatan baharu kita bersama PH iaitu dipanggil jentera perpaduan.
“Pada peringkat asas dan pertengahan telah pun selesai dan sekarang ini kita nak masuk ‘gear’ empat dan kelima… insya-Allah kita akan satu padukan kedua-dua jentera dari pelbagai aspek dalam usaha melicinkan lagi pergerakan dan perjalanan selepas ini dan kami yakin perkara itu akan dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya kepada UMNO-Online.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian bagi PRN di enam negeri. Sementara itu hari penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai ini manakala hari pengundian awal ialah pada 8 Ogos.
Enam negeri yang terlibat adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Ketika ditanya mengenai cabaran pada PRN kali ini, Mohd Zaidi yang juga Ketua UMNO Bangi seterusnya menambah rakyat hari ini cukup bijak dan matang dalam membuat sesuatu pilihan khususnya memilih sesebuah kerajaan negeri dan wakil rakyat mereka.
“Rakyat cerdik dan bijak… mereka tentunya tidak akan memilih pihak yang memburukkan orang lain. Mereka nakkan pemimpin yang boleh membela nasib mereka. Mereka mahukan lihat bagaimana kerajaan yang memimpin ke arah yang lebih baik untuk masyarakat serta negeri berkenaan.
“Kalau masih memilih pemimpin yang hanya beretorik, pandai memburukkan orang, sumpah seranah orang, pilihan seumpama itu tidak akan pergi ke mana-mana. Ia hanya sekadar berpuas hati dengan kemenangan semata-mata. Bak kata pepatah menang sorak kampung tergadai… kemenangan seumpama itu tidak akan membawa apa-apa perubahan.
“Apa pun paling penting sekarang ini persefahaman untuk bergerak bersama. Inilah masanya untuk rakyat membuktikan bahawa mereka tidak lagi suka politik kebencian, politik momokan, politik kosong dan fitnah. Rakyat mahukan politik yang sihat,” tambahnya. – UMNO Online