Pertahan Kerjasama Politik… Solidariti Dan Penyatuan Demi Parti – Hasmuni

KUALA LUMPUR, 15 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Hasmuni Hassan berkata meskipun sering disinis sebagai parti yang kalah, patah kaki dan sebagainya, UMNO sedikit pun tidak pernah mengalah dalam agenda agama, rakyat dan negara.

Sehubungan itu apa yang perlu ialah solidariti dan penyatuan sebagai formula untuk mempertahankan keindukan.

“Sebab itu, pentingnya kita mesti mempertahankan keindukan ini demi kestabilan dan kemakmuran.

“Solidariti dalam konteks ini ialah mempertahankan kerjasama politik sedia ada untuk membentuk kestabilan.

“Berinduk bak ayam, berumpun bak serai. Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga. Biduk lalu, kiambang bertaut,” katanya kepada UMNO Online, di sini hari ini.

Katanya lagi, dalam perjuangan tidak boleh bergerak ke hadapan sekiranya seringkali diberatkan dengan masa lalu yang mengikat daripada bergerak ke hadapan.

“Sumbangan besar UMNO hari ini ialah mendukung kemajuan, kemakmuran yang dirintis demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Semua itu pula tidak akan tercapai sekiranya tidak ada kestabilan dalam pentadbiran kerajaan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 (PAU) yang lalu bercakap tentang dua perkara besar.

“Pertama, tentang keindukan. Kedua, tentang kestabilan. Kedua-dua perkara ini ibarat tangan kanan dan tangan kiri atau kaki kanan dan kaki kiri.

“Kedua-duanya saling melengkapi untuk membolehkan tubuh kita bergerak dan tangan kita mampu melakukan kerja,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit