Selamat Bersidang UMNO, Pilihlah Atas Tekad ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ – Mohd Rafi

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Ahli-ahli UMNO khususnya para perwakilan disaran untuk memilih barisan kepimpinan yang kekal atas tekad ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ sempena Pemilihan UMNO sesi 2023/2026.

Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata pemilihan ini adalah ruang dan peluang kepada anggota akar umbi yang menjadi perwakilan menentukan pemimpin untuk mengembalikan UMNO ke tampuk yang kukuh.

“Untuk para perwakilan pilihlah mereka yang mengekalkan dan berpegang kepada cogankata UMNO ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ iaitu sentiasa mengutamakan perpaduan dan kepentingan dalam kelompok tanpa memikirkan agenda peribadi.

“Soal bersetia pula adalah perkara yang sangat penting kerana kita telah melihat bagaimana sikap segelintir pemimpin yang sanggup lompat sana sini lantaran tidak ada kecekalan dalam setia kepada perjuangan UMNO.

“Begitu juga dalam konsep berkhidmat kerana UMNO ini adalah parti yang lahir dari rakyat, untuk rakyat dan kerana rakyat maka khidmat kepada rakyat amat sebati dengan perjuangan UMNO,” katanya kepada UMNO Online.

Mohd Rafi yang menang tanpa bertanding dalam jawatan Ketua UMNO Bahagian Labuan turut menawarkan diri sebagai calon bagi mengisi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dengan nombor calon 79.

“Pemilihan ini adalah kesempatan terbaik kepada semua untuk melihat bagaimana suburnya UMNO berpegang kepada demokrasi apabila ahli-ahli bebas untuk menawarkan diri menjadi calon dan kemudian diundi atau dipilih oleh jumlah perwakilan yang amat besar di seluruh negara.

“Justeru, untuk para perwakilan pilihlah mereka yang benar-benar mampu menggalas tanggungjawab dan amanah bukan sahaja untuk UMNO tetapi yang pasti adalah perjuangan demi keseluruhan rakyat bagi mendaulatkan agama, bangsa dan negara,” katanya lagi.

Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari dan berakhir pada 26 Februari 2023 lalu.

Pada 11 Mac 2023 diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian. Pada tarikh yang sama turut akan diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit