Bantu Akar Umbi Terkesan Dengan Ekonomi, Perkasakan Wanita Demi Parti

GEORGE TOWN, 7 Mac – UMNO perlu mencari kaedah untuk membantu ahli dan akar umbi yang terkesan dari sudut ekonomi khususnya wanita agar mereka dapat diperkasakan.

Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, akar umbi harus diberikan perhatian sebaiknya dalam tempoh lima tahun ini untuk memperkukuhkan semula parti.

 

“Kita perlu mencari kaedah supaya wanita di bawah ini dapat dibantu, dapat kita empower mereka supaya mereka dapat turun dan bantu parti tanpa sebarang permasalahan. Buat masa ini, kita melalui waktu yang sangat sukar dari segala aspek terutamanya ekonomi. Kita berada di tahap yang sangat terkesan.

“Jadi, saya mengharapkan jika kali ini saya diberi peluang maka saya akan membantu wanita di akar umbi. Saya rasa UMNO itu sendiri perlu diperkasakan di peringkat bawah, barulah di atas senang untuk membuat keputusan.

“Akar umbi harus kita beri perhatian yang sehabis baik dalam tempoh lima tahun ini, perlu diperkukuhkan dengan pelbagai kaedah dan saya telah mencadangkannya dalam tiga tekad yang akan saya ketengahkan,” jelasnya kepada UMNO Online.

Mempertahankan jawatannya pada musim pemilihan kali ini, Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang itu yang ditemui sejurus selepas Majlis Pengenalan Calon minggu lalu membawa tekad untuk memperteguhkan martabat wanita.

“Syukur alhamdulilah, sudah selesai Majlis Pengenalan Calon bagi negeri Pulau Pinang. Terima kasih kepada semua calon yang hadir dan saya mempertahankan jawatan Naib Ketua Wanita UMNO, calon nombor dua.

“Salah satu tekad saya ialah wanita dimartabatkan supaya UMNO itu sendiri dimartabatkan juga. Untuk kita mengukuhkan dan supaya UMNO kekal relevan dalam masyarakat, maka wanita itu sendiri harus dimartabatkan.

“Insya-Allah, doakan agar saya diberikan peluang pada kali ini supaya tekad-tekad tersebut dapat direalisasikan,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berpendapat bahawa sesi pengenalan calon bersama perwakilan dan akar umbi ini merupakan usaha yang baik dalam menampilkan calon serta memperkenalkan mereka.

 

“Pada masa sama, calon juga dapat mendekati ahli-ahli UMNO di setiap negeri supaya mereka tahu, ini calon yang menawarkan diri dan mereka dapat memaklumkan kepada calon tersebut apa mereka mahukan, apa masalah mereka di bawah serta apa cadangan mereka.

“Calon juga boleh ceritakan apa tawaran masing-masing. Jadi kepada ahli-ahli akar umbi khususnya wanita, bagi saya kita bertanding sebagai sebuah keluarga. Kita harmonikan demokrasi ini, kita fokuskan kepada visi dan misi yang akan ditawarkan.

“Dengan kaedah yang sedemikian maka saya rasa UMNO akan kembali kukuh dan kita akan bersedia untuk menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) apabila kita telah membentuk sebuah organisasi nanti. Saya harapkan yang terbaik. Insya-Allah,” tambahnya lagi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit