Cabaran Terbesar UMNO… Bawa Bahtera Berlayar Menuju Destinasi – Muhammad Farhan
KUALA LUMPUR, 22 Feb – Cabaran terbesar buat seorang nakhoda adalah untuk membawa bahteranya berlayar dengan selamat ke destinasi, kata Exco Pemuda UMNO Malaysia, Muhammad Farhan Khairuddin.
Jelasnya, dalam menjadi seorang pemimpin, setiap keputusan yang diambil perlulah tepat dan mempunyai matlamat untuk organisasi dan orang-orang di dalamnya.
“Cabaran terbesar buat seorang nakhoda adalah untuk membawa bahteranya berlayar dengan selamat ke destinasi.
“Untuk itu jua, setiap keputusan yang diambil oleh seorang pemimpin, perlulah tepat dan mempunyai matlamat yang bermanfaat untuk organisasi dan orang-orang di dalamnya,” katanya menerusi hantaran di laman Instagramnya.
Menurutnya, menyedari akan kepentingan sayap Pergerakan Pemuda UMNO dalam menelusuri perjuangan politik yang semakin dinamik, beliau mengumumkan untuk menawarkan diri sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
“Menyedari akan pentingnya Pergerakan Pemuda UMNO dibawa dengan hala tuju yang tepat dan segar, saya Farhan Khairuddin dengan penuh rasa insaf dan rendah diri menawarkan diri untuk bertanding sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
“Dengan izin Allah, redha isteri, restu ibu dan ayah serta dokongan semua, saya akan mewakafkan masa, tenaga saya untuk wadah UMNO ini. Semoganya, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan menjadi sayap yang teguh setia berjuang demi parti keramat ini.
“Moga Allah berkati ikhtiar ini,” katanya lagi.
Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari serta akan berakhir pada 26 Februari 2023.
Pada 11 Mac 2023 akan diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian. Pada tarikh yang sama turut akan diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.
Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman