Anjakan Paradigma Mesti Dilakukan, Pastikan Penolakan Rakyat Tidak Lagi Berlaku

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Wakil Wilayah Persekutuan Datuk Seri Zainal Rafique berpandangan anjakan paradigma mesti dilakukan bagi peristiwa penolakan rakyat khususnya orang Melayu kepada UMNO dalam dua siri Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini tidak lagi berlaku.

Tegas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang itu, Jika PRU14 dan sebelumnya ia terjadi kepada pengundi Melayu di bandar, tetapi berdasarkan statistik pada PRU15 pula ia berjangkit kepada pengundi yang berada di pinggir bandar dan juga desa.

“Hari ini kita harus meneliti semula apa yang perlu dilakukan dan bagaimana kita boleh mengubah tren penolakan pengundi terhadap UMNO ini. Anjakan paradigma perlu dilakukan.

“Jika tidak saya khuatir keadaan akan menjadi lebih parah dan tidak mustahil kita hanya akan tinggal kurang dari 10 kerusi (Parlimen) sahaja di PRU yang akan datang,” katanya ketika membahaskan Usul Ucapan Dasar Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Seterusnya, Zainal berpandangan tiga perkara utama perlu diberi fokus oleh parti bagi memulihkan kembali kredibiliti parti dan seterusnya mendapat kepercayaan rakyat.

“Perkara yang pertama sekali ialah kita perlu akui bahawa UMNO hari ini semakin ditolak oleh pengundi di PRU. Ini hakikat, UMNO perlu dirawat. Kita harus jujur dalam hal ini agar minda dan hati kita seiring dan tidak berada dalam keadaan menafikan kebenaran.

“Minda juga harus bersedia untuk berfikir di luar kotak tentang bagaimana dan apa yang perlu kita semua lakukan agar imej dan reputasi UMNO yang tercalar dapat dipulihkan semula. Ini adalah tanggungjawab kita sebagai ahli.

“Apa yang diharapkan agar kepimpinan parti juga bersikap terbuka dan ikhlas dalam hal ini serta bersedia menerima mana-mana teguran yang berasas dan membina demi masa depan parti keramat yang tercinta,” katanya.

Begitu juga tambahnya, politik UMNO hari ini perlu dibawa ke satu peringkat yang lebih tinggi iaitu politik yang menjurus kepada politik kestabilan ekonomi rakyat, politik membangunkan ekonomi perniagaan dan politik mensejahterakan kehidupan rakyat.

“Ia juga tidak harus terhad kepada golongan B40 sahaja tetapi idea segar perlu digemblengkan agar ekonomi golongan pertengahan M40 juga dapat di tambah baik.

“Menurut penganalisa politik, golongan pengundi M40 inilah yang semakin ramai telah menolak parti kita. Kita perlu memikirkan apakah cara untuk kita menarik semula sokongan dari golongan pertengahan ini agar mereka kembali menyokong dan mengundi UMNO,” ujarnya lagi.

Ketiga ujarnya, untuk menang di PRU UMNO tidak boleh bergantung kepada pengundi di kalangan ahli semata-mata.

“3.5 juta ahli UMNO yang ada hanyalah 16% sahaja dari keseluruhan pengundi yang ada pada hari ini. Ada 18 juta lagi pengundi di luar sana yang perlu kita hadapi dan 60% dari keseluruhan pengundi hari ini adalah orang Melayu.

“Kebanyakan mereka ini tidak menganggotai mana-mana parti namun mereka sayangkan bangsa dan tanahair mereka. Mereka meletakkan harapan kepada kita. Teguran, pandangan serta perasaan mereka perlu diambil kira dalam apa jua yang hendak kita putuskan,” katanya.

Selain itu ujarnya, satu lagi golongan yang perlu kita dekati ialah golongan pengundi-pengundi automatik.

“Golongan ini sebenarnya telah memberi dimensi baru dan impak besar kepada corak dan tren mengundi di negara kita pada hari ini. Mereka ini tidak menyertai mana-mana parti.

“Sebab itulah pada pandangan saya UMNO perlu memikirkan cara dan pendekatan terbaik agar UMNO mampu menarik golongan-golongan ini. Kita tidak boleh terus mengabaikan suara-suara mereka ini kerana natijahnya bakal ditanggung oleh parti,” tegasnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit