Perhimpunan Agung UMNO 2022: Masa Untuk Muhasabah

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang akan membuka tirainya esok menjadi platform terbaik buat parti itu untuk membuat perancangan segera bagi bergerak ke hadapan susulan prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perhimpunan kali ini juga dilihat penting untuk mencerminkan bagaimana parti politik terbesar Melayu itu menyelesaikan semua perkara yang berhubung kait dengan isu dalaman parti, selepas parti itu kalah kali kedua dalam PRU, kali ini dengan rekod paling buruk selepas turut hilang kepercayaan pengundi pada PRU14.

Walaupun UMNO dan Barisan Nasional (BN) berada dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun UMNO dan BN bukan lagi parti yang dominan.

Baru-baru ini, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengajak ahli parti untuk bermuhasabah dan bersatu dari segi pemikiran, hati nurani serta tindakan bagi mengembalikan semula kekuatan parti yang sebelum ini menjadi tunjang memartabat bangsa, agama dan negara.

Bagi beliau, agenda memperkukuh semula UMNO, yang merupakan parti tunjang dalam BN, perlu diutamakan setelah ‘terpukul’ pada PRU15 berbanding melayani kehendak individu yang bersifat ‘gunting dalam lipatan.

Selain isu dalaman, penolakan terhadap UMNO dan BN yang banyak dikaitkan dengan persepsi rasuah kalangan pemimpin turut penting untuk diteliti secara mendalam susulan BN hanya memenangi 30 daripada 178 kerusi yang ditandingi pada PRU15.

Ketua Penerangan UMNO Isham Jalil dilaporkan berkata UMNO perlu berusaha membetulkan stigma masyarakat terhadap parti itu yang sering didakwa mengamalkan rasuah sekiranya mahu bangkit semula selepas dua kali ditolak dalam PRU.
Katanya sepanjang 60 tahun menjadi parti dominan, UMNO sering menjadi sasaran diserang dengan isu rasuah sehingga ideologi itu berjaya ditanam dalam fikiran orang ramai.

Pertemuan tahunan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang akan dihadiri 6,198 perwakilan dan pemerhati kali ini menyaksikan jumlah perwakilan dan pemerhati yang bertambah apabila ia turut melibatkan ketua penerangan bahagian dan sayap parti.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan sebelum ini telah menyatakan penyertaan secara automatik ketua penerangan bahagian, wanita, pemuda dan puteri itu bertujuan supaya mereka dapat memberi penjelasan kepada ahli UMNO di kawasan masing-masing mengenai ucapan dasar presiden, perwakilan negeri dan sayap.

Seramai 2,822 perwakilan dan pemerhati akan ke Perhimpunan Agung UMNO yang dijadual berlangsung sehingga Sabtu ini, sementara 1,117 perwakilan akan ke Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, 1,146 Pemuda dan 1,113 ke Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri yang akan dirasmikan secara serentak oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, malam esok.

Buat julung kalinya juga, perhimpunan kali ini tidak akan menjemput perwakilan asing dan tiada sebarang jemputan dikeluarkan kepada parti politik selain komponen Barisan Nasional (BN) dan Friends of BN untuk menghadirinya bagi memberi laluan kepada parti itu menyelesaikan semua perkara yang berhubung kait dengan isu dalaman parti dan BN.

Selain itu, perhimpunan kali ini juga akan hanya tertumpu kepada ucapan dasar presiden yang mungkin akan menyentuh hal berkaitan pendidikan, agama, ekonomi, politik dan antarabangsa.

Antara yang turut menjadi tumpuan pada perhimpunan kali ini ialah perhimpunan agung khas yang akan diadakan pada Jumaat ini bagi membuat pindaan pada dua fasal perlembagaan, termasuk Fasal 20.11 yang menyebut seseorang ahli yang menang bertanding tetapi meninggalkan parti atau bertanding sebagai calon Bebas atau parti lawan pada pilihan raya akan gugur keahlian dengan sendirinya, untuk disesuaikan dengan Akta Anti Lompat Parti.

Satu lagi fasal perlembagaan parti yang dicadang untuk dipinda ialah Fasal 8.4 iaitu untuk meletakkan ketua penerangan bahagian, wanita, pemuda dan puteri secara automatik menjadi perwakilan dalam perhimpunan agung tahunan pada setiap tahun.

Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang sebelum ini dijadualkan pada 21 hingga 24 Dis 2022, telah ditangguhkan kepada 11 hingga 14 Jan 2023. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.